SELANGOR

INSHA UNISEL bangun gelatin, enzim halal

OLEH SHAFIQQUL ALIFF

SHAH ALAM, 16 APR: Institut Halal Antarabangsa Universiti Selangor (INSHA UNISEL) di bawah pimpinan Dr Moohamad Ropaning Sulong, sedang membangunkan gelatin dan enzim halal untuk memastikan produknya halal serta bersih berdasarkan hasil kajian diusahakan.

Presiden Naib Canselor UNISEL, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, pihaknya berjaya memperlihatkan kemampuan industri ini maju ke hadapan serta memajukan ekonomi Selangor.

“Dengan adanya seminar dan forum berkaitan halal, ia sekali gus memberi impak positif kepada masyarakat tempatan serta antarabangsa.

“Ini adalah inisitif Kerajaan Negeri untuk memastikan Selangor menjadi pusat Global Halal Hub,” katanya.

Beliau berkata, halal Malaysia bukan sahaja halal, malahan bersih sehingga mendapat pengiktirafan tinggi di seluruh dunia.

Katanya, UNISEL mempunyai suasana dan persekitaran amat kondusif dalam membangunkan produk halal serta bersih kerana Selangor menggalakkan halal.

Pada masa sama, beliau yakin dengan kemampuan Selangor bagi memudahkan serta mempercepatkan proses berkenaan kerana ia adalah negeri terkaya di negara ini.

Pada masa sama, INSHA UNISEL bergiat aktif dalam bidang penyelidikan halal dan berjaya mendapat geran penyelidikan dari Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) berjumlah RM300,000.

Terdahulu, Seminar Kesedaran Halal dan Prospek Kerja dirasmikan EXCO Tetap Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan di UNISEL, Kampus Shah Alam, hari ini.

FOTO: HAFIZ OTHMAN (SELANGORKINI)


Pengarang :