BERITA UTAMASELANGOR

Kembang Flea Market ke peringkat global

OLEH SHAFIQQUL ALIFF

SHAH ALAM, 7 APRIL: Kerajaan Negeri berhasrat mengembangkan Flea Market ke peringkat global bagi meningkatkan taraf ekonomi rakyat tempatan, khususnya di Selangor.

EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata, hal itu memandangkan masih terdapat banyak ruang belum dimaksimumkan untuk mencapai sasaran berkenaan.

“Shah Alam Flea Market antara contoh terbaik kita ada setakat ini yang diyakini mampu untuk dikembangkan ke peringkat antarabangsa.

“SACC Walk Fiesta akan menjadi sejarah dan berkembang serta menerima kunjungan lebih ramai oleh rakyat Malaysia,” katanya kepada media selapas Majlis Pelancaran SACC Walk Fiesta, di Dataran Barat SACC Mall, malam tadi.

Hadir sama, Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah PREC (PKNS Real Estate), Siti Zubaidah Abd Jabar; Pengurus Besar Pengurusan Fasiliti dan Hartanah PREC, Yusri Abdul Manaf serta Ketua Perkhidmatan Korporat PREC, Nik Aiman Nik Muhamad.

Pada masa sama, Rodziah berkata, Flea Market berbeza di setiap tempat dalam aspek aktiviti, promosi, tarikan dan program.

“Program bagi setiap Flea Market dirangka khusus dan bersesuaian bagi setiap lokasi itu sendiri,” katanya.

Flea Market yang berlangsung sejak Februari lalu menyediakan lebih 50 tapak kepada peniaga yang menawarkan jualan barangan ‘bundle’, ‘preloved’, ‘vintage’, ‘rare’, ‘pre-owned’ dan terpakai.

Terdapat juga jualan makanan dan minuman melalui kendera saji atau food truck.

 


Pengarang :