PBTSELANGOR

MDKL mahu RGG dalam kalendar MoTAC

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BANTING, 14 APR: Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) merancang menjadikan penganjuran Retromania Grand Gathering (RGG) sebagai acara tahunan dalam kalendar rasmi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MoTAC).

Yang Dipertuanya, Mohammad Zain A Hamid berkata, pihaknya akan menghantar surat permohonan secara rasmi kepada pihak berkaitan bagi memastikan hasrat itu dapat dicapai.

Katanya, inisiatif itu adalah landasan terbaik dalam mengetengahkan pelancongan yang terdapat di daerah terbabit khususnya dan Selangor amnya.

“Rancangan untuk masuk MoTAC sudah lama, cuma kita belum membuat permohonan secara rasmi kepada pihak berkenaan.

“Ini adalah hasrat kita memandangkan kejayaan kita menganjurkan RGG sejak tujuh tahun lalu, malah kita sudah berjaya mencapai dua MBOR,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penutup RGG’19 di Dataran Pantai Morib, di sini, hari ini.

Turut hadir, EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Seri Abdul Rashid Asari dan Ahli Dewan Negeri Morib, Hasnul Baharudin.

Mengakui RGG mempunyai impak tersendiri, beliau berharap cadangan itu mendapat persetujuan dan pertimbangan sewajarnya daripada pihak terbabit.

“Kalau boleh kita mahu mewar-warkan kepada seluruh dunia bahawa RGG hanya berada di Kuala Langat dan dianjurkan secara bersama dengan MDKL,” katanya.

FOTO: HAFIZ OTHMAN (SELANGORKINI)


Pengarang :