PBTSELANGOR

MPSJ bersedia dinaik taraf bandar raya

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 16 APR: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) bersedia dinaik taraf sebagai bandar raya, kata Yang Dipertuanya, Noraini Roslan.

Beliau bagaimanapun berkata, pada masa ini MPSJ hanya menunggu kelulusan daripada Kerajaan Negeri.

“Mengikut kriteria yang ditetapkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, MPSJ telah memenuhi semua kriteria terbabit.

“Bagaimanapun saya percaya Kerajaan Negeri mempunyai beberapa pertimbangan lagi kerana Subang Jaya menjadi bandar raya di Selangor jika diberikan penarafan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Majlis Pelancaran Program Bestari MPSJ 2019 di ruang legar Pusat Membeli Belah Summit USJ di sini, hari ini.

Katanya, antara persiapan dilakukan termasuk meningkatkan perkhidmatan MPSJ kepada lebih berkualiti.

Walaupun kemudahan infrastruktur MPSJ berada di tahap terbaik pada masa ini namun penambahbaikan sentiasa dijalankan.

Sementara itu pembangunan baharu membabitkan kemudahan sukan seperti stadium tertutup juga giat dijalankan termasuk stadium khas untuk golongan wanita.

“MPSJ juga memperbanyakkan lagi ruang perniagaan dan perindustrian seperti mana sepatutnya dimiliki sebuah bandar raya,” katanya.

FOTO: ASRI SAPFIE (SELANGORKINI)


Pengarang :