SELANGOR

Nur Idayu, Elyazril Juara Golden Voice of PJ 2019

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PETALING JAYA, 2 APR: Nur Idayu Nazira Mohd Azhar dan Noor Elyazril Eles dinobatkan selaku juara masing-masing bagi kategori junior dan senior dalam pertandingan nyanyian Golden Voice of PJ (GVOPJ) 2019, di Auditorium Dewan Sivik, di sini, baru-baru ini.

Kemenangan itu membolehkan Idayu dan Elyazril membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM3,000 setiap seorang.

Jurucakap Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dalam kenyataan memaklumkan, pertandingan itu menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan RM10,400 dengan menyaksikan 10 peserta berentap merebut gelaran juara bagi kedua-dua kategori.

“Pertandingan ini diadakan untuk mencungkil dan melahirkan bakat baharu dalam bidang seni suara, selain mewujudkan program interaktif kepada masyarakat supaya sentiasa prihatin serta peka kepada persekitaran juga melibatkan diri dalam program Majlis.

“Menerusi GVOPJ 2019 ini, masyarakat dapat berhibur dan mengeratkan hubungan sesama masyarakat serta menyumbang ke arah meningkatkan kefahaman mutu nyanyian selain menjadi alternatif kepada remaja melibatkan diri dalam bidang seni suara,” katanya.

Diadili tiga juri profesional iaitu Datuk Ramli MS, Datuk Khadijah Ibrahim dan Bob Yusof (Akademi Fantasia 2), GVOPJ 2019 bermula pada 23 dan 24 Februari (peringkat saringan pertama) manakala 2 dan 3 MAc (peringkat saringan kedua).

Terdahulu, seramai 186 peserta menyertai peringkat saringan pertama dan 40 peserta terpilih ke peringkat saringan kedua bagi kedua-dua kategori.


Pengarang :