GLOBAL

Pakistan mahu lebih banyak kerjasama dengan Malaysia

KUALA LUMPUR, 10 APRIL: Fokus utama Pakistan kini menjurus kepada aspek hubungan baik dengan Malaysia untuk mewujudkan lebih banyak kerjasama bagi meningkatkan hubungan ekonomi dua hala antara kedua-dua negara, kata Kuasa Usahanya ke Malaysia, Atif Sharif Mian.

Beliau berkata, lawatan rasmi tiga hari Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke Pakistan pada Mac lalu, dilihat penting untuk memperluaskan perdagangan dan pelaburan serta menciptakan keadaan yang menguntungkan bagi perdagangan dan perniagaan kedua-dua negara.

“Selama ini hubungan politik sentiasa baik, tetapi kini apa yang perlu diberikan lebih tumpuan ialah bagaimana untuk memperbaiki kerjasama. Sudah tiba masanya kita ‘menterjemahkan’ hubungan baik itu kepada kerjasama.

“Oleh itu, kedua-dua pihak sedang meneroka peluang untuk mewujudkan lebih banyak peluang pelaburan, perniagaan, kerjasama pendidikan dan teknologi maklumat selain sektor pertahanan. Kita akan lihat semua bidang yang mempunyai potensi,” katanya kepada Bernama di luar acara sambutan Hari Kemerdekaan Pakistan ke-80, yang dihoskan Suruhanjaya Tinggi Pakistan di sini baru-baru ini.

Hadir sama pada majlis itu Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad.

Mengulas mengenai majlis pecah tanah kilang Proton di Pakistan yang dilihat sebagai satu pencapaian hasil lawatan Dr Mahathir, Atif berkata Pakistan gembira dengan kerjasama pelaburan itu.

“Saya fikir syarikat besar (seperti Proton) sentiasa mengintai peluang di luar negara. Industri kereta Pakistan agak berkembang beberapa tahun kebelakangan ini. Saya rasa kerana itu Proton memilih Pakistan untuk mengembangkan perniagaannya di Asia tengah,” katanya.

Dikenali sebagai usaha sama pertama Proton di rantau Asia Selatan, kilang pemasangan pembuatan itu akan dibina berhampiran Karachi di wilayah Sindh .

Sasaran kapasiti pengeluaran kilang itu ialah 25,000 unit setahun mulai Jun 2020, dengan Saga sebagai model pertama.

Lawatan Dr Mahathir pada Mac tahun ini itu atas undangan rakan sejawatannya Imran Khan bagi menghadiri sambutan Hari Pakistan, yang disambut pada 23 Mac setiap tahun.

Dr Mahathir Mohamad turut dianugerahi ‘Nishan-e-Pakistan’ atau Order of Pakistan, anugerah awam tertinggi negara itu yang disampaikan oleh Presiden Pakistan Dr Arif Alivi.

Selain itu, Atif berkata Pakistan juga berminat untuk mempelajari dari Malaysia bagaimana membangunkan industri pelancongan memandangkan banyak lagi lokasi menarik di negara itu yang masih belum diterokai. –BERNAMA


Pengarang :