SELANGOR

PANTAS MDKL selesai alih pokok tumbang

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 17 APRIL: Pasukan Tindakan Segera (PANTAS) Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) berjaya menyelesaikan kerja pengalihan pokok tumbang di beberapa kawasan di daerah itu, malam tadi.

Penyelaras PANTAS MDKL, Miskon Karim berkata, antara kawasan yang berdepan kejadian itu adalah Sekolah Menengah Kebangsaan Banting, Taman Langat Jaya, Jalan Sultan Alam Shah, Taman Baiduri, Taman Delima dan Jalan Serdang Belah Sungai Buaya.

Katanya, kejadian itu berlaku berpunca daripada hujan lebat dan angin kencang sekitar 12.30 tengah malam sehingga menyebabkan lapan pokok tumbang dan menghalang laluan.

“Terdapat juga sebatang paip utama patah di Taman Delima, Banting akibat dihempap pokok.

“Selepas menerima aduan seawal 1 pagi daripada orang awam, skuad PANTAS MDKL terdiri daripada tujuh anggota terus digerakkan segera ke lokasi terbabit.

“Sepasukan kakitangan Syarikat Pengurusan Air Selangor turut bersama menjalankan kerja pembaikan bagi memastikan bekalan air segera dipulihkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Miskon berkata, bagi memastikan operasi berjalan lancar, anggota bertugas turut dilengkapi dua mesin pemotong pokok, sebuah mesin ‘high cutter’, dua kenderaan pacuan empat roda dan beberapa peralatan lain.

“Kerja operasi yang berjalan hampir lima jam itu tamat sekitar 5.30 pagi,” katanya.


Pengarang :