SELANGOR

Pelopor Drag4U Hulu Selangor dinobat Belia Terbaik Selangor

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 28 APR: Pelopor sukan permotoran Drag4U Hulu Selangor, Mohd Firdaus Shir Mohd berjaya merangkul Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Selangor 2019 bagi kategori Belia Lelaki.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Majlis Belia Selangor berkata, tujuan program yang dianjurkannya itu bagi membolehkan anak muda yang aktif dalam sukan dunia permotoran di kawasan pinggir bandar mendapat tempat yang sewajarnya.

Katanya, rata-rata anak muda yang aktif dalam sukan terbabit menggunakan inisiatif sendiri untuk mengubahsuai motor bagi membolehkan waktu lapang diisi dengan kegiatan bermanfaat.

“Justeru usaha mereka ini perlu diberi pengiktirafan melalui penganjuran sukan sebegini, tidak semestinya apabila berada di kawasan pinggir bandar aktiviti seperti itu tidak boleh dianjurkan.

“Oleh itu saya bersama ahli jawatankuasa bertungkus lumus bagi menjayakan program ini dan akhirnya ia semakin mendapat tempat dalam kalangan anak muda khususnya peminat sukan permotoran,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

 

Beliau ditemui ketika Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Negeri Selangor 2019 bertempat di Hotel Carlton, malam tadi.

Mohd Firdaus yang membawa pulang piala dan wang tunai RM3,000 itu berkata, beliau tidak pernah menjangka hasil usaha kerasnya mendekati golongan belia selama ini akan terbayar.

Katanya, kegiatan aktifnya sebagai aktivis belia bermula dari peringkat bawahan.

“Pesanan saya buat belia di seluruh Selangor ialah jangan takut-takut untuk bergiat aktif dalam persatuan, untuk pengetahuan setiap daerah mempunyai majlis belia masing-masing, jadi anda boleh berjumpa dengan ahli jawatankuasa dan sertai semua aktiviti yang dianjurkan,” katanya.

Selain Mohd Firdaus, Haridass Ramasamy menenangi tempat kedua sementara Khairul Azwan Pauzi merangkul tempat ketiga.

Hadiah disampaikan EXCO Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Mohd Khairudddin Othman, hadir sama Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Selangor, Sabran Abd Bahar dan Presiden Majlis Belia Selangor, Hafez Shuriddin.

 

 


Pengarang :