SELANGOR

Penulis cerpen di SelangorKini tersenarai hadiah Komanwel

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SHAH ALAM, 10 APRIL: Seorang penulis cerpen yang aktif menulis di SelangorKini tersenarai untuk Hadiah Cerpen Komanwel 2019.

Lokman Hakim dipilih melalui karyanya ‘Pengap’ yang diterjemahkan kepada Bahasa Inggeris oleh Adriana Nordin Manan.

Melalui catatan di Facebook, Lokman yang menzahirkan rasa syukur tidak pernah menyangka karyanya akan tersenarai pada peringkat antarabangsa.

“Tak pernah sangka cerpen akan disenarai pendek untuk sayembara sebesar ini. Andai tidak mara ke peringkat seterusnya sekalipun, aku sudah cukup puas hati.

“Sangat berterima kasih juga kepada penterjemah cerpen terbabit, iaitu Adriana Nordin Manan,” tulisnya.

Beliau juga menyatakan akan terus ligat menulis, pada masa akan datang.

Antara cerpen yang disiarkan di SelangorKini adalah ‘Hari itu, Politik Cuti Sakit’, ‘Kucing & Proletariat’, ‘Tuhan di dalam poket’, ‘Jerusalem menangis’ dan ‘Tangga ke syurga’.

Turut tersenarai penulis Malaysia adalah Saras Manickam melalui karya berjudul ‘My Mother Pattu’.

Menurut laman sesawang penganjur, Commonwealth Writers, hadiah bakal dianugerahkan kepada karya terbaik yang belum pernah diterbitkan dalam bahasa Inggeris.

Pemenang mengikut rantau akan menerima hadiah bernilai RM13,421 (£2,500) dan pemenang keseluruhan mendapat RM26,843 (£5,000).

 


Pengarang :