SUKANKINI

Cub Prix: Afif tak tertekan penguasaan Honda

SHAH ALAM, 10 APR: Penyandang gelaran keseluruhan CP150 2018, Ahmad Afif Amran akui tidak berasa tertekan dengan penguasaan dipamerkan barisan pelumba Honda sewaktu pusingan pembukaan Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS di Jasin, Melaka, Mac lalu.

Pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing itu sekadar menamatkan perlumbaan di kedudukan keempat di belakang juara, Azroy Hakeem Anuar (Idemitsu Honda Yuzy Racing), Md Helmi Azman (Hi Rev SCK Honda Racing) dan rakan sepasukan Azroy, Md Zaqhwan Zaidi yang melengkapkan podium di kedudukan ketiga.

Menjelang perlumbaan di Batu Kawan, Pulau Pinang hujung minggu ini, Afif yang meraih sembilan podium pada musim lalu termasuk empat gelaran juara sebaliknya berkata, beliau dan rakan sepasukan serta barisan pelumba Yamaha lain akan bangkit serta kembali ke pentas podium.

“Saya tidak tertekan dengan keputusan pusingan lalu. Perlumbaan di Jasin juga tidak bermaksud prestasi kami musim ini sudah menurun, sebaliknya kami masih mencari keserasian dengan beberapa percubaan dan pelarasan mengikut perubahan peraturan teknikal jentera yang digunakan pada musim ini,” katanya.

Afif berkata, sesungguhnya keputusan di Jasin dapat menjadikan saingan musim ini lebih kompetitif dan menarik.

“Persaingan di antara jentera Yamaha dan Honda pasti lebih sengit dan kami perlu bekerja lebih keras jika mahu menaiki podium. Kami tidak boleh mengambil langkah mudah walaupun perlumbaan masih di peringkat awal musim,” katanya.


Pengarang :