PBTSELANGOR

Peniaga sambut baik cadangan hias lorong belakang

OLEH UMIRAH IZRIN MOHAMAD SAID

SUBANG JAYA, 10 APRIL: Persatuan Perniagaan Metro Jaya menyambut baik cadangan lukisan mural Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) bagi melestarikan lorong belakang premis perniagaan di kawasan itu.

Jurucakapnya, Frankie Koh Eng Kee berkata, pelaksanaan mural membabitkan Jalan PJS 11/28A dan Jalan PJS 11/28B adalah satu transformasi dan ikon tarikan bagi pelancong.

“Saya yakin dan percaya perubahan ini menjadi salah satu faktor penyumbang usaha MPSJ, sekali gus dapat mengubah persepsi pelancong ke Sunway Metro,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian pada takilmat program Perjumpaan Awam Perbandaran Pengindahan Lorong Belakang dan Lukisan Mural di Sunway Metro, hari ini.

Pada masa sama, beliau turut mencadangkan operasi bazar jualan barangan terpakai dianjurkan di sepanjang lorong belakang itu.

“Kawasan ini adalah pusat tumpuan pelancong sama ada di dalam negara mahupun luar negara, sekali gus menggalakkan peniaga kecil memasarkan kepada pelancong sebagai cenderamata,” katanya.

Pengusaha Restoran Arab Palace, Masniza Abu Samah turut menyambut baik cadangan berkenaan kerana ia akan menghidupkan suasana ceria dan menjana pendapatan peniaga di sekitar kawasan itu.

“Namun, saya kurang bersetuju dengan cadangan dikemukan supaya lorong belakang dijadikan tempat meletak motosikal dan basikal kerana ia akan mengotorkan kawasan itu,” katanya.


Pengarang :