NASIONAL

Nyamuk disuntik bakteria diguna bagi perangi denggi

OLEH UMIRAH IZRIN MOHAMAD SAID

SHAH ALAM, 2 APR: Kerajaan bakal melaksanakan operasi pelepasan nyamuk Aedes yang disuntik bakteria Wolbachia mulai Julai ini bagi mengurangkan peningkatan kes denggi.

Kementerian Kesihatan Malaysia menerusi kenyataannya di Twitter berkata, bakteria Wolbachia yang disuntik ke dalam telur Aedes mampu merencatkan penularan virus denggi.

“Melalui kaedah ini, kerajaan menyasarkan penurunkan 60 sehingga 70 peratus di 10 lokaliti yang terpilih sekali gus mengurangkan kadar kematian akibat denggi.

“Bermula Januari sehingga Mac sebanyak 59 kematian dilaporkan di seluruh negara berbanding 32 kes untuk tempoh sama pada 2018 iaitu peningkatan sebanyak 84.4 peratus.” tulisnya di Twitter.

Terdahulu, Selangor menyambut baik usaha yang dilaksanakan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) bagi menjalankan projek Wolbachia dalam usaha menurunkan kes denggi.

Difahamkan, sebanyak 39,500 nyamuk Aedes yang disuntik Wolbachia dilepaskan bagi menangani denggi di dua kawasan hotspot denggi iaitu AU2, Keramat dan Seksyen 7, Shah Alam.

 


Pengarang :