SELANGOR

Sekinchan Travel Photo Festival khusus buat peminat fotografi

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 2 APR: Peminat fotografi terutama mereka yang berminat terhadap keindahan, keunikan dan kecantikan alam digalak untuk hadir ke Sekinchan Travel Photo Festival, pada 4 Mei ini.

Ahli Dewan Negeri Sekinchan, Ng Suee Lim berkata, program yang berlangsung dari jam 10 pagi hingga 7 malam itu dijadual berlangsung di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Yoke Kuan, Sekinchan.

Katanya, program anjuran Pusat Khidmat Masyarakat Sekinchan dengan kerjasama Kerajaan Negeri dan Tourism Selangor itu bertujuan mempromosi Sekinchan yang sinonim dengan kehijauan sawah padinya.

“Saya menyeru kepada peminat fotografi dan seluruh penduduk berdekatan untuk hadir ke festival ini sekali gus menerokai keindahan Sekinchan yang sememangnya unik dan indah.

“Dengan penganjuran festival ini ia sekali gus mampu menarik lebih ramai pelancong tempatan dan asing untuk hadir ke Malaysia terutama di negeri ini,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Antara program bakal berlangsung pada festival itu adalah ‘Cycling Photo Hunt’, pelbagai pameran foto mengikut tema, bazaar, ceramah fotografi oleh jurugambar terkenal dan perkongsian perjalanan oleh pengembara berpengalaman serta persembahan tarian juga aktiviti DIY.

 


Pengarang :