Perjuangan KEADILAN hasil titik peluh rakyat – Azizah | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Naeem Raffi

Perjuangan KEADILAN hasil titik peluh rakyat – Azizah

SEREMBAN, 5 APR: Pengerusi Majlis Penasihat KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengingatkan seluruh anggota parti agar tidak lupa bahawa perjuangan KEADILAN adalah kerana perjuangan rakyat.

Dr Wan Azizah yang juga Presiden Pakatan Harapan (Pakatan) merangkap Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau mahu perjuangan KEADILAN sebelum ini, diteruskan kerana parti berkenaan tertubuh hasil perjuangan daripada titik peluh rakyat.

“Semua perjuangan kita adalah perjuangan rakyat bersama,” katanya dalam ucapan sempena sambutan 20 tahun Keadilan di sini, malam tadi.


Turut hadir, Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi; Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat KEADILAN Syed Husin Ali; Setiausaha Agung KEADILAN yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

SEREMBAN, 5 April — Pengerusi Majlis Penasihat PKR yang juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika memberi ucapan pada Majlis Sambutan 20 Tahun Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Dataran Rantau hari ini.
— fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Hadir sama, Ketua Sekretariat Pakatan yang juga Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah; Veteran DAP Lim Kit Siang; Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sembilan Tan Sri Dr Rais Yatim; Pengerusi KEADILAN Negeri Sembilan yang juga Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun, dan calon Pakatan bagi Pilihan Raya Kecil (KEADILAN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Dr S. Streram.

Berucap di hadapan ribuan hadirin, Dr Wan Azizah turut menarik perhatian dengan mengimbau sejarah perit jerih yang pernah dilaluinya suatu ketika dahulu.

“Apa saya ingat satu yang menjadi sejarah kepada perjuangan ini ialah deklarasi Permatang Pauh yang mana ada satu insiden di mana saya didatangi seorang mak cik dan memberi saya 50 sen hasil titik peluh mak cik itu untuk perjuangan ini.

“Saya kata tak perlu…inilah saya rasa perjuangan ini perjuangan titik peluh, perjuangan rakyat kita teruskan. Mengenai mak cik itu, saya sampaikan untuk kita sama-sama mengingatinya,” kata beliau.

Dalam pada itu, beliau berdoa agar perjuangan PKR itu akan dapat diteruskan untuk generasi akan datang.

Sementara itu, Mohamed Azmin dalam ucapannya berkata, usia 20 tahun bagi insan masih dianggap muda, tetapi bagi parti politik seperti KEADILAN merupakan perjalanan jauh apatah lagi berdepan dengan cabaran dan ujian.

“KEADILAN lahir daripada keringat rakyat dan bukan di istana, kita lahir di tepi jalanan hasil titik peluh dan aspirasi. Hari ini daripada parti yang kecil kita jadi parti terbesar dalam kerajaan.

“Hari ini rakyat bersama kita dan kita membentuk kerajaan. Walaupun landasan kita kerajaan, idealisme kita tetap kekal untuk mengangkat aspirasi rakyat,” katanya.

Majlis sambutan 20 tahun Keadilan yang diadakan di Dataran Rantau bertemakan ‘Dua Dekad Merakyatkan Reformasi’ itu dihadiri ribuan hadirin terdiri daripada anggota parti dan penduduk sekitar.

Terdahulu, sambutan dimulakan dengan solat hajat dan bacaan Yassin di Masjid Imam Haji Kahar di Rantau.

Ia kemudian diteruskan dengan bacaan doa dipimpin Anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Kandis, Selangor, Zawawi Ahmad Mughni, diikuti deklamasi puisi oleh Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said serta tayangan video perjuangan KEADILAN.

KEADILAN lahir daripada gelombang Reformasi yang melanda negara selepas pemecatan Anwar daripada UMNO pada 2 September 1998.

Ia secara rasmi ditubuhkan pada 4 April 1999 selepas diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan menggunakan nama Parti Keadilan Nasional.

Keadilan menyertai pilihan raya pertamanya pada usia parti itu tujuh bulan pada 1999 dan selepas itu parti berkenaan mula bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia membentuk KEADILAN pada 3 Ogos 2003, dengan Dr Wan Azizah sebagai presiden pertama.

KEADILAN pernah menganggotai beberapa gabungan antaranya Pakatan Rakyat dan kini Pakatan Harapan.

– BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next