BERITA UTAMASELANGOR

Program Nisfu Sya’ban suntik semangat kerohanian kakitangan MBI

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

SHAH ALAM, 23 APR: Sebagai persediaan menyambut kedatangan Ramadan, Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor melalui Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) berjaya menganjurkan program Nisfu Sya’ban, di Bangunan Selangor Darul Ehsan, semalam.

Ketua Pegawai CSR MBI, Mohd Jaafarudin Md Ali berkata, program yang dihadiri kakitangan MBI itu bertujuan menyuntik semangat mereka di bulan Ramadan sekali gus memberi penekanan terhadap aspek kerohanian.

“Pada masa sama, ia dapat mengembalikan emosi yang baik bagi menyambut kedatangan Ramadan dan meraikan ahli keluarga kakitangan MBI.

“Alhamdulillah, saya menzahirkan rasa gembira kerana program anjuran kali kedua ini mendapat sambutan menggalakkan walaupun ia diadakan selepas waktu pejabat,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau berkata demikian pada Program Nisfu Sya’ban Countdown Ramadhn di Bangunan Selangor Darul Ehsan, di sini, semalam.

Jaafaruddin berkata, ekoran sambutan memberangsangkan, pihaknya bercadang menjadikannya sebagai program tahunan.

“Pada Ramadan akan datang, kami akan melipat ganda tazkirah khususnya kepada kakitangan wanita supaya mereka mendapat pengisian bermanfaat.

“Saya berharap program ukhwah ini berterusan dan sentiasa memberi sokongan kepada Musolla Al-Husna,” katanya.

Program yang diadakan dari 5.30 petang hingga 8 malam itu turut dimeriahkan dengan kehadiran barisan pendakwah terkenal iaitu Ustaz Muhammad Syaari Abdul Rahman dan Pencetus Ummah Rahmat Ikhsan.


Pengarang :