NASIONAL

Projek ECRL disambung semula dengan kos lebih rendah pada RM44 bilion

PUTRAJAYA, 12 APR: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan disambung semula pada kos yang lebih rendah susulan permeteraian perjanjian tambahan (SA) antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC), demikian umum Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini.

Kos pembinaan Fasa 1 dan 2 ECRL kini dikurangkan kepada RM44 bilion, pengurangan sebanyak RM21.5 bilion daripada kos asalnya RM65.5 bilion.

“Kerajaan Malaysia menyambut baik permeteraian SA ini yang merangkumi aspek kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pengoperasian projek kereta api tersebut.

“SA itu dicapai setelah rundingan beberapa bulan antara syarikat yang terlibat serta kerajaan Malaysia dan China,” kata PMO dalam satu kenyataan hari ini.

Pejabat Perdana Menteri berkata pengurangan kos itu akan memberi manfaat kepada Malaysia dan meringankan beban kewangan negara.

Wakil Khas Perdana Menteri Tun Daim Zainuddin sedang berada di Beijing untuk bertemu dengan wakil dari China berkaitan ECRL.

Projek ECRL dimulakan oleh kerajaan sebelum ini Barisan Nasional dan digantung tahun lepas oleh kerajaan Pakatan Harapan yang baru dipilih berikutan kosnya yang tinggi.

Cadangan projek ECRL sejauh 688 kilometer itu, sekiranya dibina, akan menghubungkan Pelabuhan Klang di Selangor ke Pengkalan Kubor di Kelantan.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :