BERITA UTAMASELANGOR

Rosli dilantik Yang Dipertua MPKj baharu

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KAJANG, 3 APRIL: Bekas Pegawai Daerah Hulu Langat, Dato’ Rosli Othman, secara rasmi dilantik sebagai Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), berkuat kuasa pada 1 April.

Majlis angkat sumpah berlangsung di hadapan Timbalan YDP MPKj, Najmuddin Jemain dan Pengarah Khidmat Pengurusan MPKj, Zahari Shukri, di Bilik Mesyuarat Cempaka Putih 1, Menara MPKj, di sini.

Turut menyaksikan majlis itu ialah Ahli Dewan Negeri Balakong, Wong Siew Ki termasuk kesemua Pengarah Jabatan dan Ahli Majlis di pihak berkuasa tempatan berkenaan.

Terdahulu, beliau menggantikan penyandang terdahulu, Mohd Sayuti Bakar.

Rosli, 56, yang dilahirkan di Hulu Langat, Selangor adalah pemegang Ijazah Sarjana Pengurusan Sumber Tanah (2009) dari Universiti Putra Malaysia selain memegang Ijazah Sarjana Muda Sains dari Universiti Sains Malaysia (1987).

Beliau mempunyai pengalaman luas dalam bidang pengurusan tanah dan pengurusan projek.

Selain bertugas di Pejabat Daerah Tanah, beliau pernah menggalas tanggungjawab sebagai Pegawai Hal Ehwal Islam di Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS); Pegawai Petunjuk Prestasi Utama di Kementerian Pengajian Tinggi; Pegawai Tadbir Diplomatik di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Ketua Penolong Setiausaha di Kementerian Pelajaran Malaysia.

Beliau yang mempunyai tiga orang cahaya mata turut aktif dalam aktiviti dan persatuan luar termasuk Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Daerah Hulu Langat; Pengerusi Jawatankuasa Lembaga Perlesenan Eksais; Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana serta Presiden Kelab Menembak Kajang.


Pengarang :