EKONOMISELANGOR

Rumah Idaman rancak pembinaan kediaman mampu milik

OLEH AFEEQA AFEERA

KELANA JAYA, 4 APRIL: Pelaksanaan Rumah Idaman Rakyat Selangor (Idaman) yang dijayakan Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) bertujuan merancakkan lagi pembinaan rumah mampu milik, di negeri itu.

Ketua Pegawai Operasi MBI, Soffan Affendi Aminudin berkata, rumah adalah keperluan asas yang sangat kritikal kepada rakyat dan menjadi ‘nukleus’ untuk kemajuan ekonomi akan datang.

“Jika rakyat dapat perumahan baik, institusi perbankan juga akan berjalan termasuk perkara yang bersandarkan perumahan akan bergerak sejajar.

“Di peringkat MBI, kita menggunakan dasar Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) yang menetapkan pemaju untuk menyediakan unit rumah harga kawalan seperti Rumah Selangorku.

“Justeru, kita guna pakai konsep itu untuk mewujudkan Rumah Idaman dan tiada perubahan dari sudut dasar, sebaliknya kita merancakkan lagi rumah mampu milik,” katanya dalam sidang media di Wisma Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), di sini, semalam.

Pada masa sama, Soffan berkata, MBI berhubung dengan semua stakeholder terbabit iaitu Kerajaan Negeri, pemaju dan rakyat berhubung hala tuju rumah mampu milik, di Selangor.

“Kebanyakan pemaju mementingkan keuntungan dalam setiap pembinaan rumah dan perlu melihat aliran tunai untuk membina rumah mampu milik.

“Bagaimanapun, kerajaan harus menggalakkan mereka membina rumah mampu milik. Justeru, kita dapat ruang untuk perkenalkan Rumah Idaman ini,” katanya.

Rumah Idaman menawarkan unit kediaman berkeluasan lebih 1,000 kaki persegi, tiga bilik tidur, dua bilik air dan dua parkir kereta dengan harga bersih hanya RM250,000.

Setiap unit Rumah Idaman dibekalkan set televisyen, peti sejuk, kabinet TV, kabinet dapur, penyaman udara di setiap bilik dan pemanas air di bilik air.

Projek itu akan dimajukan di Kajang, Bangi, Ampang, Shah Alam, Cyberjaya, Dengkil, Setia Alam, Klang, Bandar Saujana Putra, Bandar Salak Tinggi dan Kuala Langat Utara.

Majlis pelancaran program kediaman istimewa itu akan disempurnakan Dato’ Menteri Besar di Kajang 2, Mukim Bandar Batu 18, Semenyih, pada 6 April ini.


Pengarang :