NASIONAL

Salahuddin: Sedia henti penswastaan pembekalan jika wujud penyelewengan

OLEH NAZLI IBRAHIM

TANJUNG KARANG, 3 APR: Kerajaan tidak teragak-agak menamatkan konsesi pembekalan benih padi sah oleh pembekal swasta sekiranya siasatan mendapati terdapat unsur penyelewengan yang akhirnya memangsakan pesawah.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, beliau mendapat banyak maklum balas daripada pesawah bahawa benih padi selepas era penswastaan dimulakan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 2010 berkualiti rendah berbanding benih padi sah yang dibekalkan Jabatan Pertanian sebelumnya.

“Kita dengar dalam dialog bersama petani seluruh negara bukan sekali dan paling terkini pagi tadi di Kampung Sawah Sempadan, hampir semua bersetuju supaya benih padi sah ini dikembalikan kepada Jabatan Pertanian.

“Kita dengar, kita selidik, saya sendiri mengambil fakta ini dan saya minta pegawai dan jabatan bertanggung jawab mengkaji isu ini.

“Kesannya kepada pesawah kita dan oleh itu sebelum saya menoktahkan dengan membuat keputusan muktamad sama ada mengembalikan isu benih padi sah ini kepada Jabatan Pertanian seperti petani mahu yang sejarahnya membekalkan benih padi yang bermutu dan sah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Penggunaan Benih Padi Sah Peringkat Kebangsaan di Pusat Pertanian Sungai Burong di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Salahuddin berkata, kerajaan Pakatan Harapan tidak bersikap anti perniagaan atau syarikat swasta tetapi sebaliknya mahu memastikan pihak diberikan tanggungjawab berkompromi dalam isu kualiti benih padi demi meraih keuntungan besar.

Katanya, pada masa ini terdapat sembilan syarikat pemegang konsesi membekalkan benih padi kepada pesawah.

Penggunaan benih padi tidak sah memberi beberapa kesan buruk seperti pertumbuhan pokok tidak seragam, risiko pencemaran benih rumpai dan benih berpenyakit, risiko pencampuran varieti, hasil padi berkurangan serta meningkatkan populasi padi angin.

Salahuddin turut melahirkan rasa kesal apabila isu bekalan padi sah masih berlaku selepas lebih 60 tahun negara mencapai kemerdekaan.


Pengarang :