SELANGOR

Selangor izin guna alat komunikasi dalam mesyuarat

OLEH NORHAYATI UMOR

KAJANG, 6 APRIL: Selangor tidak melarang penggunaan telefon bimbit dan beberapa peralatan komunikasi lain dalam mesyuaratnya, ketika ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, hal itu kerana Kerajaan Negeri tidak mahu menghalang komunikasi dan teknologi masa kini.

Bagaimanapun, katanya, ia boleh dibincangkan dengan Setiausaha Kerajaan Negeri jika terdapat usaha ke arah larangan berkenaan.

“Larangan itu bukan hanya memfokuskan telefon bimbit sahaja, malah beberapa alatan lain untuk pengambilan data rahsia.

“Bagaimanapun, kita tidak mahu menghalang komunikasi, namun ia boleh dibincangkan jika larangan berkenaan membawa kebaikan.

“Buat masa ini, kita masih izinkan kerana kita bekerja 24 jam, jadi alatan berkenaan diperlukan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran dan Pecah Tanah Projek Perumahan Idaman, di Bandar Teknologi, di sini.

Terdahulu, Kerajaan melarang penggunaan telefon bimbit dan beberapa peralatan komunikasi dalam mesyuaratnya yang membincangkan perkara rahsia dan keselamatan negara bagi mengekang kebocoran.

Selain larangan telefon bimbit, peralatan lain yang disebut dalam surat berkenaan ialah kamera digital, jam pintar, perakam video dan pen pintar.

Dalam satu surat bertarikh 31 Januari lalu berkaitan larangan itu kepada ketua setiausaha kementerian dan ketua jabatan, Ketua Pengarah Keselamatan Kerajaan, Datuk Sanusi Sidek, turut menyertakan lampiran ‘Garis Panduan Larangan Penggunaan Telefon Bimbit atau Alat Komunikasi Lain Dalam Mesyuarat Kerajaan’.

Penggunaan telefon bimbit dan alat komunikasi lain secara tidak terkawal dalam agensi kerajaan boleh mendatangkan implikasi buruk serta membahayakan di samping boleh melanggar peruntukan Akta Rahsia Rasmi 1972 sekiranya berlaku kebocoran atau kecurian maklumat.

 


Pengarang :