NASIONAL

Sindiket seludup rokok bernilai RM1.6 juta tumpas

JOHOR BAHRU, 9 APR: Polis menumpaskan satu sindiket penyeludupan rokok tidak sah membabitkan rampasan bernilai RM1.6 juta dalam satu serbuan di sebuah kawasan perindustrian Taman Johor, di sini, awal pagi semalam.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 ACP Paul Khiu Khon Chiang berkata dalam serbuan pada 2 pagi itu, pasukannya yang terdiri daripada seorang pegawai dan lapan anggota melakukan risikan dan serbuan, setelah mendapati dua orang lelaki sedang memunggah sejumlah kotak dibungkus plastik hitam daripada sebuah van ke dalam lori.

Katanya, sindiket penyeludupan dari negara jiran yang dipercayai telah beroperasi sejak awal tahun itu, menggunakan jalan darat sebagai modus operandi bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Menyedari kehadiran polis, dua lelaki itu cuba melarikan diri, tetapi pihaknya berjaya menahan seorang dengan seorang lagi berjaya melarikan diri.

“Hasil pemeriksaan lanjut di van dan lori berkenaan menjumpai sebanyak 205 kotak rokok putih jenama Concept pelbagai perisa yang mengandungi 102,500 paket rokok dengan anggaran nilai RM1.6 juta,” kata beliau dalam sidang media di Markas PPM Wilayah 2, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU) ACP Mohd Taib Ahmad.

Khiu berkata, pihaknya sedang melakukan siasatan bagaimana sindiket penyeludupan bagi pasaran tempatan itu menggunakan jalan darat dan berjaya melepasi pemeriksaan yang ketat oleh agensi penguatkuasaan.

“Biasanya (sindiket penyeludupan) ikut laut (seludup), (tetapi) sekarang ikut darat. Kita percaya ini bukan kali pertama (mereka seludup guna jalan darat).

“Mungkin mereka ada helah, kalau kita lihat pemeriksaan secara visual dari luar, kita akan nampak van ini kosong dengan kerusi yang kosong tetapi sebenarnya ia (rokok) disembunyikan di bawah kerusi,” katanya.

Menurutnya, dalam serbuan itu, pihaknya turut merampas sebuah lori Mitsubishi Fuso, sebuah van Nissan Urvan dan sebuah Proton Wira yang dipercayai milik seorang suspek lelaki yang terlepas dalam serbuan tersebut dengan nilai keseluruhan rampasan kenderaan bernilai RM145,000.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek berusia 30 tahun warga tempatan yang ditahan itu positif dadah jenis methamphetamine dan direman tujuh hari mulai hari ini sehingga 15 April.

“Kes disiasat mengikut Sesyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 kerana mengangkut dan membawa barang yang dilarang,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :