SELANGOR

Tiba masa BN main peranan-Rizam

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 16 APRIL: Pembangkang Selangor sedia memainkan peranan semak dan imbang dengan lebih agresif sertaproaktif pada penggal ini, tekad Rizam Ismail.

Ketua Pembangkang itu berkata, peranan pembangkang dalam membuat proses berkenaan amat didambakan rakyat lebih-lebih lagi selepas Pakatan Harapan menguasai negeri dan Putrajaya.

“Saya percaya dan yakin pembangkang perlu buat kerja untuk jadi mata dan lidah rakyat terutama di Dewan Negeri serta Parlimen dalam usaha memastikan kerajaan yang berkuasa berhati-hati dalam hal pentadbiran juga perbelanjaan.

“Kita bukan kerja nak cari pasal atau kritik membuta tuli tetapi tekad untuk lakukan proses semak dan imbang ini secara professional kerana akhirnya kita mahu rakyat yang mendapat untung,” katanya kepada SelangorKini.

Rizam berkata, beliau berhasrat memimpin barisan pembangkang untuk melaksanakan fungsi sebenar PAC dalam pentadbiran Kerajaan Negeri.

“Dalam mana-mana kerajaan, peranan PAC ini amat penting, jadi saya tidak mahu kita melepaskan tanggungjawab ini.

“Jika kita tidak mahu melakukan tugas semak dan imbang ini, jika kita menolak amanah diberikan, siapa lagi yang rakyat boleh harapkan,” katanya.

Pada 5 September 2018, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari mengumumkan Ketua Pembangkang, Rizam Ismail dilantik sebagai Pengerusi PAC bagi negeri itu.

Terdahulu, pada 4 Disember 2014, Dewan Negeri Selangor meminda Peraturan Tetap 68 (1) yang mewajibkan Ketua Pembangkang memegang jawatan Pengerusi PAC.

Pada 8 Disember 2014, Ketua Pembangkang ketika itu, Datuk Mohd Shamsudin Lias meletak jawatan berkenaan kerana enggan menjawat jawatan Pengerusi PAC dan ia dibiarkan kosong sehingga tamat penggal.


Pengarang :