NASIONAL

Tiket ETS, KTM Intercity sempena Aidilfitri mula dijual 10 April

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 3 APR: Bersempena kedatangan Aidilfitri, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mula membuka kaunter jualan tiket perkhidmatan keretapi elektrik (ETS) dan KTM Intercity pada 10 April ini.

Berdasarkan kenyataan Unit Komunikasi Korporat KTMB, orang ramai yang ingin pulang ke kampung boleh mula membeli tiket itu seawal jam 8.30 pagi.

Difahamkan, tiket bagi perkhidmatan ETS dan KTM Intercity itu adalah bagi perjalanan antara 1 Mei hingga 16 Jun berdasarkan jadual waktu perjalanan sedia ada.

“Sejumlah 36 perjalanan keretapi ETS dan 49 bagi KTM Intercity disediakan untuk menampung permintaan tinggi sempena musim cuti perayaan itu.

“Tiket boleh dibeli secara dalam talian melalui laman sesawang rasmi KTMB, www.ktmb.com.my atau menerusi aplikasi telefon pintar (KTM MobTicket) serta di kaunter tiket KTMB.

“Selain itu, kadar bagi tiket perkhidmatan tren shuttle Tebrau (JB Sentral – Woodlands -JB Sentral) kekal seperti biasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut, orang awam boleh melayari laman web rasmi KTM Berhad di www.ktmb.com.my, KTM Berhad (Facebook), @ktm_berhad (Twitter) dan @ktmbofficial (Instagram) atau menerusi Pusat Panggilan KTM Berhad yang beroperasi 24 jam di talian 03-22671200.


Pengarang :