SELANGOR

Tindakan terhadap rumah tak berpenghuni punca Aedes membiak

OLEH SHEEDA FATHIL

SEMENYIH, 14 APR: Pihak berkuasa diseru untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pemilik yang meninggalkan kediaman mereka sehingga menjadi punca Aedes membiak.

Ahli Parlimen Hulu Langat, Dato’ Hasanuddin Mohd Yunus berkata, kediaman kosong sehingga menjadi usang itu salah satu punca nyamuk membiak sekali gus penduduk sekitar akan mudah dijangkiti denggi.

Katanya, pemilik kediaman tidak seharusnya membiarkan kediaman mereka kosong sehingga menjadi sarang Aedes kerana situasi itu sudah pasti akan mengancam nyawa penduduk sekitar.

“Kita perlu pastikan tindakan undang-undang diambil terhadap pemilik kediaman kerana kes denggi di kawasan perumahan antara yang tertinggi sering berlaku di kawasan ini.

“Pada masa sama, saya menyeru komuniti untuk rajin melakukan aktiviti bergotong-royong bersama persatuan penduduk secara berkala bagi mencegah Aedes daripada terus membiak dan menjangkiti kita,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Gotong-Royong Perdana Basmi Denggi anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bersama Majlis Perbandaran Kajang di Padang Awam Seksyen 2, Bandar Rinching, di sini, hari ini.

Pada masa sama, katanya, beliau menggalakkan pengerusi persatuan penduduk untuk melakukan jadual gotong-royong di kawasan mereka supaya persekitaran sentiasa bersih dan bebas denggi.

“Saya menggalakkan satu bentuk kerjasama berjadual itu dilaksana kerana selain dapat menjaga kebersihan persekitaran ia juga mampu mengeratkan silaturahim antara penduduk di sesuatu kawasan.

“Kita juga akan turut memberi sokongan padu kepada persatuan penduduk sekiranya mereka dapat melaksanakan jadual gotong-royong itu,” katanya.


Pengarang :