SELANGOR

TMS2020: MPSepang sedia pelbagai produk menarik

OLEH SHEEDA FATHIL

CYBERJAYA, 8 APR: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) komited menyediakan pelbagai produk menarik bagi menarik pelancong hadir ke daerah itu sempena kedatangan Tahun Melawat Sepang 2020 (TMS2020).

Yang Dipertuanya, Mohd Fauzi Yatim berkata, banyak program sudah dirangka antaranya memperkenalkan lokasi tarikan pelancong dan produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang terdapat di Sepang.

Katanya, pihaknya juga akan memperkenalkan Dragon Fruit Festival @ Sepang yang sememangnya amat terkenal di daerah itu.

“Kita juga sedang merangka untuk mengabungkan penginapan sama ada di homestay atau hotel dengan aktiviti di dalam satu pakej pelancongan bagi memudahkan mereka ketika bercuti di sini.

“Menariknya, Sepang mempunyai dua pintu masuk utama iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 sekali gus memudahkan kita untuk mempromosikan setiap pakej yang ada kepada mereka di situ,” katanya.

Terdahulu, MPSepang menyasarkan seramai lima juta pelancong membabitkan 80 peratus pelancong domestik dan 20 peratus pelancong antarabangsa, akan hadir ke daerah itu sekali gus mampu menjana pendapatan RM5 bilion.

MPSepang juga akan meningkatkan promosi menarik lebih ramai pelancong dari Singapura, China, Jepun, Korea Selatan dan Australia selain pelancong tempatan, dengan tema ‘Sepang Gerbang Negara’.

Bagi meningkatkan promosi itu, MPSepang sudah mengadakan Pra-Pelancaran TMS2020 di Internationale Tourismus Borse (ITB) Berlin, Jerman, baru-baru ini.

Selain itu, pihaknya juga sudah mengadakan Jelajah Sepang Motorbike di beberapa negeri seluruh Malaysia bertujuan mempromosikan TMS2020.


Pengarang :