GLOBAL

Trump guna kuasa veto tamatkan sokongan AS di Yaman

WASHINGTON, 17 APRIL: Presiden Donald Trump menggunakan kuasa veto berhubung satu resolusi yang menggesa Amerika Syarikat (AS) menghentikan sokongan terhadap peperangan di Yaman yang dipimpin Arab Saudi, lapor agensi berita Turki Anadolu.

“Resolusi ini adalah sesuatu yang tidak perlu dan merupakan percubaan berbahaya untuk melemahkan kuasa perlembagaan saya, membahayakan nyawa rakyat Amerika serta anggota perkhidmatan yang berani, hari ini mahupun pada masa depan,” kata Trump dalam satu kenyataan.

Ini adalah kali kedua Trump menggunakan kuasa veto selepas beliau menjadi presiden AS.

Perundangan itu pada asalnya diperkenal di Senat dan ditaja bersama calon presiden Senator Bernie Sanders, dengan mengguna pakai resolusi Kuasa-Kuasa Perang, satu undang-undang persekutuan yang memberikan Kongres kuasa untuk menyiasat presiden apabila menjerumuskan AS ke dalam konflik bersenjata.

Dewan itu meluluskan satu resolusi yang sama berhubung Yaman pada Februari, tetapi ia tidak sampai kepada Senat kerana isu prosedur.

Arab Saudi mengetuai gabungan bagi menentang pemberontak Houthi di Yaman sejak 2015, apabila Riyadh dan sekutu Sunni-Arabnya melancarkan satu kempen serangan udara besar-besaran bagi mengusir pemberontak Houthi dari kawasan yang dikuasainya yang bermula pada 2014.

Kempen itu memusnahkan infrastruktur Yaman, termasuk sistem kesihatan dan sanitasinya, menyebabkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyifatkannya sebagai antara bencana kemanusiaan paling teruk pada zaman moden. -BERNAMA


Pengarang :