ISKANDAR PUTERI, 17 April — Menteri Besar Johor Dr Sahruddin Jamal ketika melepaskan para pelumba basikal Tour de Iskandar di Dataran Mahkota, Iskandar Puteri hari ini.?Perlumbaan berbasikal peringkat pertama melibatkan seramai 108 pelumba daripada 22 pasukan membabitkan jarak sejauh 119 KM yang berakhir di Dataran Penggaram, Batu Pahat.?–fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA?
NASIONAL

Rombakan EXCO Johor bakal dimuktamad minggu ini

ISKANDAR PUTERI, 17 APRIL: Rombakan barisan EXCO Kerajaan Johor dijangka dimuktamadkan menjelang akhir minggu ini, kata Menteri Besarnya, Dr Sahruddin Jamal.

Beliau berkata, penyusunan barisan EXCO masih diperincikan lagi.

“Seperti yang saya cakap, saya akan memilih EXCO yang saya selesa bekerja dengan mereka. Insya-Allah kita akan lihat nama itu (senarai baharu). Nanti saya umumkan beberapa hari lagi sebelum minggu hadapan,” katanya kepada pemberita di Kota Iskandar di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya status rombakan barisan EXCO kini serta sama ada akan terdapat pengguguran atau nama baharu dalam senarai berkenaan.

Dr Sahruddin, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong itu turut mengesahkan tiada tambahan portfolio kepada 11 portfolio termasuk yang dipegang menteri besar kini.

Semalam, sebuah portal melaporkan barisan EXCO Kerajaan Johor yang baharu akan menyaksikan pengguguran dua EXCO lama iaitu Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan, Mazlan Bujang dan Tan Hong Pin, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi.

Mazlan adalah ADUN Puteriwangsa daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Tan merupakan ADUN Skudai daripada DAP.

Dr Sahruddin mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor ke-17 di Istana Bukit Serene, pada Ahad lalu menggantikan Datuk Osman Sapian yang meletak jawata, pada 8 April lalu.

Sehari sebelum itu, Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar menetapkan syarat supaya menteri besar Johor yang baharu membuat rombakan kepada barisan EXCO Kerajaan Negeri. –BERNAMA

 


Pengarang :