KUALA LUMPUR, 4 April — Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara di Bangunan Parlimen hari ini. Turut kelihatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Saifuddin Nasution Ismail (kanan) serta Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Chong Chieng Jen (kiri). — fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

Tubuh Jawatankuasa Tindakan E-dagang basmi orang tengah

KUALA LUMPUR, 4 APRIL: Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) hari ini memutuskan untuk membentuk Jawatankuasa Tindakan Kebangsaan E-dagang bagi membasmi peranan orang tengah dan mengurangkan kos jualan barangan pengguna.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengetuai dan menyelaraskan usaha untuk memperkasa sistem e-dagang dan bayaran tanpa tunai di negara ini.

“KPDNHEP bertanggungjawab menguatkuasakan undang-undang dan menerima aduan pengguna berkenaan perniagaan dalam talian,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Rakyat kali kedua di Bangunan Parlimen, hari ini.

Turut hadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata NACCOL sedang meneliti beberapa cadangan daripada KPDNHEP untuk menangani kos sara hidup rakyat termasuk menjadikan​​​​​​ beberapa item makanan terpilih sebagai barang kawalan melibatkan ayam standard, telur ayam gred C, kobis bulat import, ikan kembung dan kelapa biji.

Dalam isu berasingan, beliau berkata Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) serta Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) diarah membuat kajian berkenaan industri padi negara untuk melindungi rantaian bekalan makanan ruji rakyat di negara ini.

Beliau berkata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan KRI pula akan meneliti kajian khusus merangkumi aspek ketidakpadanan penawaran dan permintaaan, isu spekulasi dalam pasaran perumahan serta kemudahan pembiayaan.

“Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) pula diarah menyediakan satu kertas kerja berkenaan fungsi koperasi dalam menurunkan kos sara hidup dan dibentangkan dalam mesyuarat akan datang,” katanya.

Tegasnya, semua laporan mengenai cadangan itu akan dibentangkan dalam Mesyuarat Peringkat Eksekutif NACCOL yang akan bersidang pada penghujung bulan ini.

Sementara itu, Dr Wan Azizah turut melaporkan mengenai hasil kemajuan pelaksanaan dasar diluluskan sebelum ini, melibatkan pelaksanaan MY100 di bawah Kementerian Pengangkutan yang memberi manfaat kepada 151,693 pengguna Rapid Rail dari 1 Dis 2018 hingga 20 Feb lepas.

Selain itu bagi kad MY50, ia memberi manfaat kepada 3,950 pengguna Bas Rapid Transit (BRT) bagi tempoh yang sama, katanya.

Menurut beliau, pelaksanaan tambang diskaun Xtra20 (Xtra20) bagi komuter KTM sejak 1 April lepas dijangka memberi manfaat kepada pengguna di bandar dan luar bandar dengan kadar tambang serendah RM0.80 yang mampu memberi penjimatan sehingga RM176 sebulan.

Program Food Bank Malaysia yang dilaksanakan di empat universiti awam seperti ​​​​​​​Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memberi manfaat kepada 45,850 isi rumah dan akan diperluaskan ke universiti lain. -BERNAMA


Pengarang :