SELANGOR

Zuraida tinjau kawasan terjejas banjir lumpur

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 1 APR: Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamarudin melawat kawasan terjejas akibat banjir lumpur di Taman Siera Ukay Perdana, malam tadi.

Beliau meluangkan masa hampir dua jam di lokasi kejadian pagi ini sambil diiringi Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Dato’ Abd Hamid Hussain.

Menerusi perkongsian foto di Twitter @AmpangP99, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu turut mendengar luahan penduduk setempat berkaitan kejadian.

Selain itu, pihak bomba turut berada di tempat kejadian sejak semalam bagi membantu membersihkan kawasan terjejas.

Dalam perkembangan sama, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Negeri Selangor menerusi kenyataan memaklumkan, terima panggilan kecemasan pada jam 11.14 malam tadi dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Ampang dengan kekutan tujuh anggota digerakkan ke tempat kejadian.

“Setibanya jentera dilokasi didapati benar berlaku banjir kilat. Terdapat banyak lumpur di atas laluan jalanraya di sebabkan kerja-kerja pembinaan di hadapan rumah taman tersebut.

“Kerja-kerja pembersihan lumpur di lakukan bagi tujuan mengelakkan sebarang kemalangan yang berlaku. Tiada kecederaan serta kemalangan jiwa dilaporkan berlaku,” katanya.


Pengarang :