SELANGOR

‘Jangan tinggalkan saya’, pesan Anuar kepada Siti Mariam

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 7 MEI: “Jangan tinggalkan saya,” itu pesanan terakhir Allahyarham Anuar Abu Bakar kepada isteri tercinta, Siti Mariam Sathawee sebelum menghembuskan nafas terakhir, semalam.

Pemergian legenda bola sepak Malaysia itu semalam mengejutkan seluruh ahli keluarga dan sahabat handai ketika beliau mendapatkan rawatan di Hospital Shah Alam sejak Ahad lalu.

Siti Mariam, 46, berkata Allahyarham hanya mengetahui berkenaan penyakitnya, pada 14 Mac lalu dan sejak itu semangatnya mula menurun.

“Kami dapat tahu penyakit pada 14 Mac lalu dan lepas dapat tahu dia (Anuar) sangat ‘down’. Alhamdulillah, Allah permudahkan urusan kita.

“Dah tahu penyakit pun dah ‘stage’ 4. Tiada simptom sakit dan doktor cakap jarang jumpa kes seperti ini, Anuar sangat kuat,” katanya kepada media sejurus selesai pengebumian Anuar, 48 di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, di sini.

Hasil perkongsian hidup Allahyarham Anuar dan Siti Mariam, mereka dikurniakan lima orang cahaya mata; dua lelaki dan tiga perempuan berusia antara 10 hingga 25 tahun.

Sementara itu, bapa Anuar, Abu Bakar Zainal, 74, mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang hadir mendoakan kesejahteraan anaknya, hari ini.

Katanya, ibu Anuar, Aminah Nayan terlebih dahulu pulang ke rahmatullah sekita dua minggu lalu dan ini adalah kehilangan besar buat dirinya sekeluarga.

“Kami tahu dia sakit awal tahun ini. (Allahyarhamah) ibu dia pun datang menziarahinya dan ketika itu (Anuar) masih boleh bercakap.

“Selepas itu, ibunya pula sakit dan disusuli Anuar. Ibunya meninggal dunia dua minggu lalu di Hospital Muar, Johor dan hari ini anaknya (Anuar) pula,” katanya.

Jenazah Allahyarham Anuar sebelum itu disembahyangkan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan tiba di Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 21 sekitar 10 pagi.

Majlis pengebumian yang dihadiri lebih 200 orang selesai sepenuhnya kira-kira 50 minit kemudian dan bacaan talkin disampaikan Imam Besar Masjid Negeri, Muhammad Farhan Wijaya.


Pengarang :