Cermin sisi dan belakang kenderaan dibenar gelap sepenuhnya | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Afeeqa Afeera

Cermin sisi dan belakang kenderaan dibenar gelap sepenuhnya

PUTRAJAYA, 7 MEI: Mulai esok (8 Mei), cermin sisi dan cermin belakang bahagian penumpang kenderaan pensedirian dibenarkan gelap sepenuhnya, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Peraturan semasa cermin gelap bagi cermin bahagian itu ditetapkan pada kadar 30 peratus.

Loke bagaimanapun berkata, peraturan sedia ada bagi cermin hadapan dan cermin sisi bahagian pemandu kekal iaitu pada kadar 70 peratus dan 50 peratus.


“Dengan ini, cermin sisi dan belakang untuk penumpang boleh hitam semua dengan syarat kenderaan itu dilengkapi dengan cermin pemantul kanan dan kiri (side mirrors). Tiada lagi sekatan.

“Ramai yang minta kita longgarkan (peraturan) untuk berikan (cermin) lebih gelap supaya tahan haba dan kita ambil pertimbangaan itu. Tetapi kita tidak boleh kompromi dengan cermin hadapan dan sisi bahagian pemandu, kita kekalkan peraturan sedia,” katanya selepas mesyuarat bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), di sini hari ini.

Loke menegaskan penggunaan lapisan filem atau cermin yang lebih gelap di bahagian pemandu akan mengganggu kebolehan pemandu untuk melihat dan mengawal kenderaan dengan selamat.

“Ini meningkatkan risiko berlakunya kemalangan terutamanya dalam keadaan waktu kurang cahaya sama ada disebabkan oleh hujan atau pemanduan di waktu malam,” katanya.

Loke berkata pemilik kenderaan boleh memohon untuk menggunakan cermin yang lebih gelap untuk bahagian pemandu atas sebab yang khusus seperti faktor keselamatan dan kesihatan, dengan dikenakan fi perkhidmatan untuk setiap permohonan.

“Bagi setiap permohonan yang dikemukakan atas faktor keselamatan akan dikenakan fi perkhidmatan sebanyak RM50. Setiap permohonan yang diluluskan pula akan dikenakan fi sebanyak RM5,000 untuk tempoh selama dua tahun,” katanya.

Loke berkata individu yang telah diluluskan penggunaan cermin yang gelap perlu memohon semula apabila tempoh sah laku tamat dan dikenakan fi yang sama bagi setiap permohonan.

Kenaan fi itu dijangka memberi kira-kira RM6 juta setahun kepada pendapatan kerajaan, katanya.

“Permohonan pengecualian di atas faktor kesihatan hendaklah mendapat pengecualian bertulis daripada pakar perubatan kerajaan dan akan dikecualikan daripada sebarang kenaan fi,” kata Loke.

 

Menurut Loke, kerajaan terdahulu meluluskan sebanyak 5,469 permohonan untuk cermin gelap daripada tahun 2011 hingga 2018 tanpa kenaan fi.

“Saya tengok balik profil orang yang mendapat kelulusan, kebanyakannya adalah orang yang berkemampuan atas alasan faktor keselamatan. Jadi saya rasa golongan ini adalah golongan yang mampu, dan kalau dikenakan fi, ia mampu memberi pendapatan kepada kerajaan,” katanya.

“Sekarang sesiapa yang ingin memohon atas faktor tertentu, dia boleh mohon dari JPJ,” katanya, sambil menambah satu jawatankuasa khas yang dipengerusikan Ketua Pengarah JPJ Datuk Shaharuddin Khalid akan ditubuhkan dan bermesyuarat setiap bulan untuk memproses permohonan cermin gelap.

“Permohonan tersebut mesti ada beberapa syarat iaitu ada alasan yang diberikan, dan seterusnya permohonan akan dihantar kepada pihak polis untuk proses vetting. Kalau ada kes jenayah, ia akan terus ditolak, dan juga semua tunggakan saman mesti dibayar dahulu,” kata Loke.

 

Ditanya tentang kenderaan yang telah dipasang cermin gelap, Loke berkata semua kenderaan yang bercermin gelap adalah haram dan mereka perlu membuat permohonan balik.

“Terdapat kira-kira 20,000 yang diluluskan untuk tiga tahun sejak 2011 dan kebanyakannya telah melepasi tempoh. Oleh itu semua permit perlu dibaharui, jika tidak mereka akan disaman RM300 jika cermin gelap tidak lulus standard ditetapkan,” katanya.

Loke berkata pindaan ke atas peraturan penggunaan lapisan filem atau cermin gelap digariskan dalam kaedah-kaedah kenderaan motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) 1991 dan ia juga selari dengan peraturan UN Regulation No 43: Uniform Provisions Concerning the Approval of Safety Glazing Materials and Their Installation on Vehicles.

-BERNAMA

 

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next