NASIONAL

Azhan Rani kecewa ibu bapa bantah hukuman sekolah

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 13 MEI: Pelakon, Azhan Abdul Rani atau Azhan Rani meluahkan rasa kecewa apabila terdapat segelintir ibu bapa yang membantah hukuman dibuat pihak sekolah sebelum ini.

Menerusi Instagramnya, beliau turut menyindir dan menyarankan anak mereka supaya dihantar ke spa lima hari seminggu untuk dibelai.

“Kalau anak-anak yang buat masalah di sekolah ni tak boleh dijentik, tak boleh dihukum nak dipuji dan dibelai sepanjang masa maka lebih baik la hantar anak ke spa 5 hari seminggu.

“Dapatkan urutan aroma therapy, mandi jakuzi dan wap sekali. Biar dia mereput macam tu sampai ke tua,” kata pelakon drama Nur itu.

Berkongsi cerita memegang watak guru dalam cerekarama bertajuk ‘Terima Kasih Ibu’, Azhan berkata, perubahan zaman menyebabkan sistem dan peraturan sudah bertukar dan ibu bapa tidak membenarkan guru mengambil tindakan kepada pelajar bermasalah.

“Cerita pasal cerekarama semalam juga #terimakasihibu ini, banyak juga dapat maklum balas pasal sistem dan peraturan untuk guru-guru sekarang dah banyak berubah.

“Dapat aku rasakan tanggungjawab seorang guru sangat mencabar walaupun hanya seminggu je jadi ‘cikgu wayang’ dalam #terimakasihibu ni.

“Memang tak mungkin kot cikgu sekarang bawa rotan, tak boleh nak hukum pelajar bermasalah kena jalan itik, potong rambut pelajar lelaki yang simpan rambut panjang, rotan pelajar lelaki yang rakam gambar pelajar perempuan dalam tandas, jerit marah pada pelajar hisap rokok dan bergaduh di sekolah,” luahnya.

Mengakui beliau pada dahulunya kaki melawan, beliau bagaimanapun bersyukur hukuman yang dikenakan kepadanya menjadi panduan hidupnya hari ini.

Antaranya, dirotan dengan pelbagai saiz, dihukum berdiri berjam-jam atas kerusi, diarah lari pusing padang lapan pusingan dan diminta ketuk ketampi 300 kali hingga terkengkang naik tangga.

“Macam-macam lagi. Zaman dah berubah walaupun #niljibril tu pun memang ada sikit dalam diri aku masa zaman sekolah, tapi takde la sampai membunuh orang.

“Kaki melawan juga aku dulu, nakal masa tu. Hari ini aku bersyukur sebab aku lalui macam-macam hukuman dan denda yang hari ni membolehkan aku jadi orang,” katanya.

“Aku percaya semua tu jadikan peringatan dan panduan untuk aku hari ni. Bagi aku, pokok pangkal terpulang kepada orang tua juga, sejauh mana nawaitu menghantar anak-anak ke sekolah,” katanya.

FOTO EHSAN: IG azhan_rani


Pengarang :