NASIONAL

Bayar zakat melalui MYEG

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 13 MEI: Kaedah pembayaran zakat pendapatan kini diperluaskan melalui sistem potongan gaji menerusi MyEG Services Berhad (MyEG).

Pengarah Eksekutifnya, Dato’ Raja Munir Shah Raja Mustapha berkata, kaedah berkenaan memberikan kemudahan kepada orang ramai menjalankan ibadah itu.

Katanya, sistem pertama di negara itu akan memberikan kemudahan kepada 159,217 majikan yang berdaftar dengan MyEG bagi menguruskan pembayaran zakat pendapatan kakitangan menerusi potongan gaji bulanan.

“Ia bertujuan memudahkan urusan majikan menguruskan proses potongan gaji zakat pendapatan mengikut syarak bagi mereka yang layak melalui portal kami.

“Bagi menggunakan sistem ini, setiap majikan perlu mempunyai akaun jenis syarikat di portal MyEG dan ada akses kepada borang kebenaran potongan gaji zakat pendapatan.

“Jika kakitangan itu berminat, majikan mereka kemudian perlu mengemas kini maklumat pekerja di dalam sistem dan melakukan pembayaran zakat pendapatan melalui MyEG,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Ihya Ramadan dan Majlis Pelancaran Sistem Potongan Gaji Zakat Pendapatan melalui MyEG di Baitus Salam, Jalan Kebun, baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Divisyen Kutipan Lembaga Zakat Selangor (LZS), Mohd Sabirin Mohd Sarbini.

Sementara itu, Mohd Sabirin berkata, usaha proaktif berkenaan akan dapat memberi kemudahan kepada pengeluar zakat untuk menunaikan ibadah terbabit.

Justeru, beliau berharap usaha itu dapat dilaksanakan institusi atau organisasi lain dalam menyantuni pengeluar dan penerima zakat.

“Ia secara tidak langsung menjadikan MyEG sebgai ejen penggerak kepada rukun Islam iaitu menunaikan tanggungjawab zakat,” katanya.


Pengarang :