EKONOMINASIONAL

Ekonomi Malaysia dijangka berkembang sederhana pada Julai-September 2019

KUALA LUMPUR, 24 MEI: Pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka menyederhana pada Julai hingga September 2019, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Dalam Laporan Penunjuk Ekonomi Malaysia : Indeks Pelopor, Serentak & Susulan bagi bulan rujukan Mac 2019 yang dikeluarkan hari ini, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata perubahan tahunan Indeks Pelopor (IP) menunjukkan peningkatan kepada negatif 1.7 peratus daripada negatif 2.8 peratus pada Februari 2019.

Komposit IP itu disusun untuk memantau arah ekonomi dalam purata empat hingga enam bulan ke hadapan.

Bagaimanapun, perubahan bulanan IP pada Mac 2019 mencatat pertumbuhan 0.7 peratus kepada 117.1 mata daripada 116.3 mata dalam bulan sebelumnya, terutamanya disebabkan oleh peningkatan Penawaran Wang Benar atau M1 (0.4 peratus) dan Import Benar Logam Asas Berharga & Logam Bukan Ferus Lain (0.3 peratus).

Dalam pada itu, Mohd Uzir berkata Indeks Serentak (IS) yang menggambarkan keadaan ekonomi semasa, susut 0.1 peratus pada Mac lepas.

Tiga daripada enam komponen telah memperlahankan prestasi IS terutamanya komponen Gaji & Upah Benar di sektor pembuatan (-0.3 peratus).

“Bagaimanapun, perubahan tahunan IS tumbuh 2.2 peratus pada Mac 2019,” katanya. – BERNAMA


Pengarang :