BERITA UTAMASELANGOR

EXCO: Amaran keras penyewa langgar syarat sewa

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PETALING JAYA, 4 MEI: Kerajaan Negeri memberi amaran keras terhadap mana-mana penyewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang melanggar peraturan dan syarat penyewaan ditetapkan, khususnya menyewakan unit kediaman kepada warga asing.

EXCO Perumahan Dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha berkata, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengenakan tindakan tegas dalam menangani penyalahgunaan PPR, terutama membabitkan penyewaan mahupun penjualan yang melanggar syarat sah.

“Kita juga akan mengenal pasti unit diduduki mereka dan siapa sebenarnya penyewa yang sudah tentu daripada warganegara Malaysia.

“Pihak pengurusan akan mendapatkan nama-nama mereka untuk diambil tindakan kerana sudah melanggar syarat penyewaan selain bersetuju tinggal di sini, tetapi menyewakan unit yang mereka sewa ini kepada warga asing.

“Jika mengikut daripada sisi undang-undang, boleh diambil tindakan dan dikenakan denda kerana akuan berkanun mereka sudah menandatangani apabila memasuki unit-unit berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Operasi Bersepadu di Pangsapuri Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1, di sini, awal pagi tadi.

Turut hadir, Pengarah Imigresen Selangor, Mohamad Shukri Nawi.

Mengulas lanjut, Haniza yang juga Ahli Dewan Negeri Lembah Jaya berkata, tindakan tegas juga akan diambil terhadap penyewa kediaman unit PPR sekiranya didapati mencuri bekalan elektrik kerana tindakan seumpama itu disifatkan sebagai perbuatan jenayah.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya akan mengenal pasti penyewa di unit kediaman terbabit yang menyambungkan bekalan elektrik secara haram melalui kaedah ‘bypass’.

“Saya dimaklumkan Tenaga Nasional Berhad bahawa ada segelintir unit-unit yang sudah disambung bekalan elektrik mereka secara haram.

“Menurut pegawai, ada kes ataupun situasi yang boleh menyebabkan renjatan elektrik disebabkan penyambungan yang tidak profesional dan secara manual,” katanya.

Terdahulu, dalam serbuan jam 1 pagi tadi, Jabatan Imigresen Selangor menggempur dua blok PPR Lembah Subang 1, di sini, membabitkan pemeriksaan lebih 800 unit rumah.

Dalam pemeriksaan selama dua jam itu, seramai 11 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dicekup selepas gagal mengemukakan pas dan permit sah.

Penahanan itu membabitkan sembilan warga Indonesia termasuk empat perempuan, manakala dua warga Bangladesh berusia lingkungan 23 hingga 56 tahun.

 


Pengarang :