BERITA UTAMANASIONAL

Google beri penghormatan khas kepada Sudirman

OLEH AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 25 MEI: Google hari ini memberi penghormatan khas kepada legenda seni tanah air, Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad, dengan memaparkan imej utama bagi laman carian berkenaan.

Penghormatan sempena kelahiran permata seni negara berkenaan yang jatuh pada hari ini (25 Mei) mengimbau semula kenangan penghibur yang gah mencipta nama di Asia itu.

Paparan “Doodle” yang diletakkan pada imej utama laman carian Google itu tertera kapsyen “Sudirman Arshad’s 65th Birthday” dan jika diklik, paparan maklumat penyanyi berkenaan akan disiarkan.

Allahyarham Sudirman yang berasal dari Temerloh, Pahang dilahirkan pada 1954 dan memulakan kerjaya sebagai penyanyi apabila dinobatkan sebagai juara Bintang RTM, pada 11 Ogos 1976.

Pada 15 April 1986, beliau mengadakan sebuah konsert di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur yang mencipta sejarah apabila berjaya menarik lebih 100,000 orang daripada pelbagai kaum.

Sepanjang 16 tahun kerjayanya dalam lapangan seni suara tanah air, Allahyarham Sudirman merakamkan 15 album studio, 52 album kompilasi dan puluhan lagu hits serta memenangi pelbagai anugerah tempatan juga antarabangsa.

Antara lagu popular dendangan Allahyarham adalah Balik Kampung, Pelangi Petang, Salam Terakhir, Ayah dan Ibu, Merisik Khabar, Warisan dan Terasing.

Pencapaian tertinggi dalam kerjanya adalah apabila Allahyarham memenangi anugerah Asian Popular Music Awards di London Royal Albert Hall, pada 1989 yang menjadi batu loncatan buat kerjayanya sebagai penyanyi untuk dikenali di peringkat antarabangsa.

Allahyarham juga juga adalah satu-satunya pemegang gelaran “Penghibur Nombor 1 Asia”, pada 19 Mac 1989 dari Pahang, sebelum kehadiran Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Selain menyanyi, Allahyarham juga mempunyai kebolehan lain sebagai penggubah lagu, peguam, penulis, pengarang (buku memoir dan kanak-kanak), pelukis kartun, usahawan dan pelakon.

Allahyarham Sudirman mengembuskan nafas terakhir pada 22 Februari 1992, selepas tujuh bulan bertarung dengan penyakit radang paru-paru.


Pengarang :