NASIONAL

Inkues Adib: Pakar Forensik HKL sangkal fakta saksi ke-29

SHAH ALAM, 10 MEI: Pakar Forensik Hospital Kuala Lumpur, Dr Ahmad Hafizam Hasmi yang dibenarkan untuk memberi keterangan semula pada prosiding inkues kematian Muhammad Adib Mohd Kassim, di Mahkamah Tinggi di sini hari ini menyangkal beberapa fakta yang dibentangkan pakar lain sebelum ini.

Dr Ahmad Hafizam, yang juga saksi ke-24, berkata, terdapat kiraan salah pada formula yang digunakan saksi ke-29 iaitu Perunding Kanan Patalogi Forensik, Prof Dr Shahrom Abd Wahid dalam mengira daya untuk mendapat impak kecederaan terhadap anggota bomba itu.

Dr Ahmad Hafizam berkata, Prof Dr Shahrom, bekas pakar Perunding Kanan Forensik dan Patalogi Hospital Canselor Tuanku Mukhriz itu, mungkin tidak mengambil kira berat van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dalam mengira daya terbabit.

“Formula ini memang ada dan selalu digunakan untuk kes membabitkan jatuh dari tempat tinggi. Sebab itu kita tidak masukkan langsung mengenai jarak si mati kerana kita tidak tahu si mati jatuh di mana. Bagaimanapun, berdasarkan kiraan ini, apa yang berlaku sudah cukup kuat untuk patahkan tulang rusuk terbabit,” katanya pada hari ke-32 prosiding inkues berkenaan.

Katanya, berdasarkan pemeriksaan semula dan eksperimen dijalankan pada 12 April lepas, beliau dan juga saksi ke-27, Ketua Jabatan Forensik HKL, Datuk Dr Mohd Shah Mahmood, tetap tidak bersetuju dengan teori dikemukakan Prof Dr Shahrom iaitu Muhammad Adib ditarik dan tersepit antara pintu dan jenang pintu van EMRS.

Dr Ahmad Hafizam menjawab soalan Pegawai Pengendali, Faten Hadni Khairuddin pada inkues menyiasat punca kematian arwah Muhammad Adib.

Saksi itu berkata, struktur pintu yang dikatakan mengenai dada Muhammad Adib adalah sepanjang 28 sentimeter (cm) sedangkan saiz kecederaan di badan mangsa hanyalah 15 cm.

Katanya, kecederaan itu jelas sekali tidak berpadanan dengaan panjang struktur pintu.

“Saya juga tidak bersetuju dengan kenyataan Prof Dr Shahrom mengenai luka calar siku kiri akibat jatuh ke belakang. Ini kerana luka pada lutut kanan menunjukkan mangsa terjatuh ke hadapan dan luka pada siku kiri juga boleh terhasil akibat terjatuh ke hadapan.

“Isu patah tulang rusuk kanan ketiga dan keempat pada bahagian belakang, yang mana saksi ke- 29 menyatakan ia disebabkan impak langsung dan menghasilkan patah oblik.

“Saya tidak bersetuju kerana saya yang memeriksa kepatahan itu dan ia memang patah pilin di mana mekanismenya adalah akibat pergerakan tulang rusuk ketiga dan keempat disebabkan impak pada bahagian hadapan rusuk terbabit,” katanya.

Terdahulu, mahkamah membenarkan permohonan pegawai pengendali untuk membawa van EMRS yang berlainan ke perkarangan mahkamah bagi menguji kelajuan van berkenaan pada Rabu depan.

Pada 23 April lepas, Mahkamah Koroner di sini menolak permohonan pegawai pengendali untuk memanggil semula saksi ke-24 bagaimanapun, pada 30 April lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ab Karim Ab Rahman membenarkan permohonan pegawai pengendali untuk memanggil semula saksi ke-24 itu.

Muhammad Adib yang juga anggota EMRS Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lepas dan meninggal dunia pada 17 Disember lalu di Institut Jantung Negara.

Inkues di hadapan Koroner Rofiah Mohamad bersambung Selasa depan.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :