NASIONAL

Polis tahan dua lelaki dipercayai terbabit kegiatan jual, beli dadah

SEREMBAN, 10 MEI: Polis menahan dua lelaki dipercayai terlibat dengan aktiviti menjual dan membeli dadah di sekitar daerah ini, semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supt Aidi Sham Mohammed berkata, kedua-dua individu itu ditahan di dua lokasi berasingan di sekitar Lukut dan Pasir Panjang.

“Semalam, kira-kira pukul 2 petang Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan telah mengadakan serbuan di hadapan sebuah kedai di Jalan Perdana Taman Perindustrian Lukut dan menahan seorang lelaki berumur 39 tahun yang menaiki motosikal.

“Semasa pemeriksaan dijalankan, suspek cuba untuk melarikan diri tetapi berjaya ditangkap.

“Hasil pemeriksaan beg silang yang dipakai oleh suspek telah menjumpai satu peket plastik lutsinar berisi bahan ketulan kelabu disyaki dadah jenis heroin dan satu tiub straw dadah jenis syabu, dengan jumlah keseluruhan 43.72 gram,” katanya.

Aidi Sham berkata, tangkapan kedua pula dilakukan semasa Op Sarang yang diadakan pada 1 pagi di sebuah rumah dekat Kampung Sungai Sekawang Pasir Panjang semalam.

”Operasi yang dikendalikan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson telah mengadakan serbuan di rumah tersebut dan menahan seorang lelaki berumur 29 tahun.

“Semasa pemeriksaan badan dijalankan terhadap suspek, kita menjumpai satu beg kecil warna coklat di dalam poket bahagian belakang, yang mengandungi empat peket plastik lutsinar berisi bahan ketulan kelabu disyaki dadah jenis heroin seberat 20.8 gram,” katanya.

Tambahnya, kedua-dua suspek yang bekerja sebagai buruh itu kemudiannya dibawa ke Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson untuk siasatan lanjut.

Katanya, hasil pemeriksaan urin, kedua-dua mereka positif dadah dan mempunyai rekod lampau antara lapan dan tujuh kes berkaitan dengan dadah.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :