IPCMC: PDRM pastikan hak anggota terpelihara | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Afeeqa Afeera

IPCMC: PDRM pastikan hak anggota terpelihara

KUALA LUMPUR, 31 MEI: Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador akan memastikan hak kebajikan warga polis diberi perhatian apabila Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) dimuktamadkan.

Beliau berkata, kebajikan anggota polis yang kebanyakan berpendapatan sederhana perlu diberi perhatian setimpal dengan pengorbanan pasukan keselamatan itu.

“Kami warga PDRM (Polis Diraja Malaysia) menunggu bentuk IPCMC ini dimuktamadkan dan selepas itu tanggungjawab saya adalah menyakinkan anak-anak buah saya dan apabila IPCMC diluluskan, saya akan pastikan PDRM akan mendapat hak-hak kebajikan,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melawat tapak Bazar Ramadan Taman Tun Dr Ismail (TTDI), di sini.

Turut hadir, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim dan Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Ruslan Khalid.

“Sejak sebulan dan seminggu lalu, saya meninjau sendiri keadaan kuarters balai polis antaranya di TTDI dan ada antaranya mempunyai atap yang rosak dan pecah.

“Saya sedih melihat keadaan ini apabila anggota saya terpaksa berbumbungkan atap bocor dan mereka ini berpendapatan sederhana. Saya akan perjuangkan hak mereka,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan bahawa penubuhan IPCMC akan diteruskan selepas mendapat persetujuan daripada PDRM.

Perkara itu dicapai melalui perbincangan antara Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) dengan 20 wakil jabatan PDRM dan persatuan polis di Perdana Putra, Putrjajaya pada 10 Mei lalu.

Ketua Pengarah GIACC, Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, kertas Kabinet berhubung penubuhan IPCMC dijangka dapat dikemukakan selepas Aidilfitri.

IPCMC akan bertindak sebagai badan pemantau bebas untuk menerima aduan dan menjalankan siasatan terhadap salah laku anggota polis, manakala Ombudsman Malaysia menguruskan aduan terhadap isu berkaitan jentera kerajaan.

-BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next