Kerajaan sedia bincang dengan pemilik bagi penjualan tanah Kampung Baru | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Hafizan Taib

Kerajaan sedia bincang dengan pemilik bagi penjualan tanah Kampung Baru

KUALA LUMPUR, 5 MEI: Kementerian Wilayah Persekutuan sedia berbincang dengan seluruh pemilik tanah di Kampung Baru berhubung penjualan tanah kepada kerajaan untuk pembangunan semula kawasan berkenaan.

Menterinya, Khalid Abdul Samad berkata, berikutan banyak gambaran ‘songsang’ berhubung cadangan kerajaan untuk mengambil alih tanah di Kampung Baru, pertemuan dengan pemilik tanah adalah perlu dalam usaha mencari jalan penyelesaian terhadap perkara itu.

“Ada kata kerajaan mahu beli tanah dengan harga murah untuk menghalau orang Melayu dari Kampung Baru dan sebagainya, sebenarnya bukan. Kami cuma mahu mencari penyelesaian sesuai untuk mengekalkan pemilikan tanah Melayu di Kampung Baru di samping membangunkan kawasan itu menjadi penempatan moden dan bersepadu.


“Kami juga tidak mahu Kampung Baru terpinggir daripada pembangunan pesat sekitar Kuala Lumpur kerana jika dibiarkan tidak membangun, nanti orang kata kami tidak mengendahkan keperluan orang Melayu di kawasan itu, jadi kami mahu aset mereka juga dapat dibangunkan,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelepasan bersempena ‘KL Car Free Morning’ di sini, hari ini.

Sebelum ini, beliau berkata pihaknya mengadakan pertemuan dengan Perbadanan Kemajuan Kampung Baru (PKB) dan Lembaga Pentadbir Penempatan Pertanian Melayu (MAS) serta sebahagian daripada pemilik tanah bagi membincangkan perkara itu.

“Ada tanah sampai berpuluh-puluh nama pemilik sehingga mereka tidak tahu apa perlu dilakukan. Jadi jika mereka bersetuju untuk jual tanah dapatkan tunai ataupun apartmen daripada pemaju itu terpulang kepada mereka, yang penting kita dapat duduk berbincang, cari mekanisme menyelesaikan masalah mereka,” katanya.

Pada 22 April lepas, Khalid dipetik sebagai berkata, kerajaan memerlukan dana RM10 bilion jika berhasrat membeli tanah di Kampung Baru untuk dibangunkan menjadi penempatan moden dan sistematik orang Melayu di tengah ibu kota.

Katanya, dana itu diperlukan untuk membolehkan kementerian membangunkan Kampung Baru secara menyeluruh dan bukan secara berkelompok atau ‘runcit’ oleh pemilik tanah bersama pemaju.

Namun, pelbagai cadangan turut dikemukakan beberapa badan bukan kerajaan (NGO), antaranya PKB yang mahukan kerajaan menyediakan rumah transit kepada pemilik tanah sekiranya berhasrat untuk membangunkan semula kawasan Kampung Baru.

Terdahulu, Khalid melepaskan kira-kira 800 peserta ‘OrphanCare Superheroes Charity Run’ bersempena KL Car Free Morning di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Pengerusi OrphanCare, Tan Sri Faizah Mohd Tahir berkata, selain menggalakkan masyarakat menyertai aktiviti sihat pada hujung minggu, program larian itu turut bertujuan mengumpul dana bagi Yayasan Orphancare untuk melindungi bayi yang terbuang.

SUMBER: BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next