SELANGOR

RM1.465 juta untuk sumbangan moreh

OLEH NORHAYATI UMOR

BATU CAVES, 5 MEI: Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM1.465 juta bagi sumbangan moreh kepada masjid dan surau di seluruh Selangor tahun ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, menerusi jumlah itu, sebanyak 226 masjid, 1091 surau dan 92 surau dengan kebenaran solat Jumaat menerima bantuan sekitar RM1,000 hingga RM1,200.

Katanya, bagi masjid yang mempunyai simpanan dana melebihi RM100,000 dan surau RM50,000 tidak layak menerima sumbangan ini.

“Pada tahun ini diberikan kepada masjid dan surau yang telah menghantar dokumen penyata kewangan terkini yang diperlukan ke Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

“Memandangkan dana sumbangan peruntukan moreh pada tahun ini agak berkurangan sedikit, maka JAIS menetapkan syarat seperti itu tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Menyemarak Ramadan bersama masjid dan surau negeri serta pelancaran Selangor Bertadabbur di Masjid Al Amaniah, di sini.

Hadir sama, Pengarah JAIS, Dato’ Haris Kasim.

Amirudin berkata, syarat itu ditetapkan kerana beliau percaya masjid dan surau yang mempunyai dana simpanan mencukupi untuk melaksanakan aktiviti sepanjang Ramadan.

Malah, beliau percaya Pusat Khidmat Masyarakat turut memberi sumbangan kepada institusi itu.

“Ini kali pertama syarat itu ditetapkan, had ini dilaksanakan kerana Kerajaan Negeri berpandangan kita perlu mengagihkan kepada program dakwah dan bantuan bersasar lain.

“Saya berharap semua pihak akan terima dan memahaminya kerana jika pendapatan masjid dan surau lebih, ia tidak beri kesan,” katanya.

FOTO: FIKRI YUSOF (SELANGORKINI)


Pengarang :