Kes Rosmah dan Rizal didengar di mahkamah sama | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Hafizan Taib

Kes Rosmah dan Rizal didengar di mahkamah sama

KUALA LUMPUR, 2 MEI: Kes Datin Seri Rosmah Mansor yang berdepan pertuduhan rasuah membabitkan projek pembekalan sistem tenaga solar hibrid bagi sekolah luar bandar di Sarawak, akan didengar di Mahkamah Tinggi sama yang mendengar kes Datuk Rizal Mansor, bekas pegawai khas kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram, yang juga Timbalan Pendakwa Raya Kanan bagi kes Rosmah, supaya kedua-dua kes itu didengar di mahkamah sama.

“Permohonan oleh pendakwaan untuk memindahkan kes ini untuk didengar Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan dibenarkan. Kami tidak bercanggah dengan Seksyen 417 Kanun Tatacara Jenayah,” katanya.


Rosmah diwakili peguam Datuk Akberdin Abdul Kader dan Datuk Jagjit Singh.

Pada 15 November tahun lepas, Rosmah, 67, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan meminta rasuah wang tunai RM187.5 juta dan menerima RM1.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Rizal, 45, juga mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan rasuah membabitkan projek sama.

SUMBER: BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next