BESUT, 8 Mei — Peniaga Khalil Abd Aziz, 22, dari Kampung Lubuk Kawah bersama isterinya Siti Salmi Atikah Maliki, 21 (kiri) bersama-sama membakar ayam yang telah diperap di dalam tin yang merupakan cara baharu membakar ayam yang dipelajarinya dari keluarga di pinggir jalan utama Jertih-Keruak, Hulu Besut dekat Kampung Lubuk Kawah hari ini. — foto BERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
RENCANA

Keunikan ‘Ayam Tin’ Kampung Lubuk Kawah

OLEH WAN ZURATIKAH IFFAH WAN ZULKIFKLI

BESUT, 12 MEI: Sesiapa sahaja yang melalui jalan utama di Kampung Lubuk Kawah, Hulu Besut di sini akan berasa hairan melihat deretan tin biskut bersaiz besar dibakar bersama himpunan tempurung kelapa di hadapan sebuah rumah.

Sehingga ada yang singgah kerana rasa ingin tahu, dan mereka berasa teruja apabila melihat terdapat ayam yang dipanggang di dalam tin-tin itu.

Siti Salmi Atikah Maliki, 21, yang mengusahakan perniagaan ayam bakar dalam tin atau ayam tin berkata menu itu adalah kegemaran keluarganya sejak dahulu lagi dan ia hanya dihidangkan pada majlis-majlis tertentu sahaja.

Namun beliau bersama suami Khalil Abdul Aziz, 22, mengambil keputusan menjual ‘ayam tin’ di hadapan rumah mereka untuk mengisi masa lapang pada bulan puasa ini.

“Ini kali pertama saya berniaga ayam panggang dalam tin ini dan pada hari pertama Ramadan saya hanya menyediakan sebanyak empat ekor ayam sahaja kerana risau tidak ada sambutan,” katanya kepada Bernama.

Percubaan kali pertama pasangan itu membuahkan hasil apabila menerima reaksi yang positif daripada para pelanggan sehingga ada yang memuat naik dan memberi ulasan mengenai keenakan ayam tin itu dalam media sosial.

Walaupun menerima tempahan yang banyak namun mereka hanya menghadkan jumlah jualan antara 15 hingga 20 ekor sehari yang dijual RM10 hingga RM20 mengikut saiz dan harga pasaran ayam semasa, bagi memastikan kualiti dan keenakan ayam tin terjamin.

Bercerita mengenai penyediaan ayam tin, Siti Salmi Atikah berkata ayam dipacakkan menggunakan kayu di atas pasir dan kemudian diselungkup menggunakan tin sebelum dibakar dengan tempurung kelapa di bahagian luar tin itu. Proses membakar ayam biasanya mengambil masa 30 hingga 45 minit.

Selain itu berbekalkan pengalaman bekerja di kedai sate ketika zaman persekolahan, beliau menghasilkan sendiri resepi ramuan rempah perapan ayam manakala sos untuk mencicah ayam dipelajarinya melalui laman sosial.

“Setiap hari ayam akan diperap menggunakan ramuan rempah selama lima jam sebelum dibakar. Ianya bagi memastikan pelanggan akan merasai keenakan ramuan rempah itu pada bahagian dalam isi ayam yang telah siap dibakar,” katanya.

Selain itu, tempurung kelapa yang digunakan untuk membakar ayam tin turut memberikan aroma yang unik bagi ayam bakar itu.

Dalam pada itu, pasangan berkenaan memilih untuk menjalankan perniagaan di rumah sahaja berbanding di bazar Ramadan kerana risau asap yang keluar dari tin yang dibakar akan mengganggu keselesaan pengunjung bazar.

Sementara itu, seorang pelanggannya, Cm Deli Abdullah, 61, berkata beliau pada mulanya menyangkakan tin yang terbakar di halaman rumah pasangan itu hanyalah permainan sahaja.

“Saya terkejut apabila Khalil beritahu bahawa ia adalah ayam yang dipanggang di dalam tin,” katanya.

Beliau yang telah beberapa kali membeli ayam tin itu berkata rasa ayam itu lebih sedap berbanding yang dibakar atas api kerana walaupun ia kelihatan hangus tetapi tiada rasa pahit.

“Sos pencicahnya juga sangat sedap. Ia masam-masam manis dan mempunyai rasa ala-ala Thai,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :