NASIONAL

KKM sentiasa komited tingkat keselamatan pesakit

KUALA LUMPUR, 29 MEI: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa bekerjasama erat dengan organisasi kerajaan, sektor swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam mempertingkatkan keselamatan pesakit di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kerjasama erat itu melalui pelbagai strategi seperti promosi dan pembelajaran, penghasilan dasar keselamatan pesakit, pembangunan persekitaran serta reka bentuk fasiliti kesihatan yang selamat.

“Kerjasama lain adalah membabitkan kaedah rawatan yang selamat, pewujudan piawaian keselamatan, pemantauan dan penyelidikan. Pihak kementerian akan meneruskan kerjasama utuh ini bukan sahaja di dalam negara malah di peringkat global,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Dr Noor Hisham berkata, komitmen itu selaras dengan resolusi “Tindakan Global Mengenai Keselamatan Pesakit” yang dipersetujui untuk diterima pakai Perhimpunan Kesihatan Sedunia Ke-72 Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Geneva, Switzerland, Sabtu lalu.

Beliau berkata resolusi itu menggesa negara ahli untuk menjadikan keselamatan pesakit sebagai keutamaan kesihatan dan mengambil tindakan bersepadu bagi mengelak kemudaratan pesakit semasa menerima rawatan.

“Resolusi itu turut menekankan bahawa keselamatan pesakit sebagai elemen kritikal Perlindungan Kesihatan Sejagat (Universal Health Coverage) dan rakyat boleh berasa yakin bahawa sistem penjagaan kesihatan yang disediakan adalah selamat.

“Negara ahli juga perlu mengukuhkan aspek keselamatan dalam sistem penjagaan kesihatan berdasarkan sains di mana pengetahuan dan bukti-bukti diperoleh melalui kajian perlu digunakan dalam perancangan, pembentukan dasar kesihatan dan perkhidmatan kesihatan,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata perhimpunan itu turut mengisytiharkan 17 September sebagai “Hari Keselamatan Pesakit Sedunia” dan Malaysia akan terus memberikan komitmen serta berusaha meningkatkan keselamatan pesakit.

“Marilah kita bekerjasama demi keselamatan pesakit,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :