NASIONALSUKANKINI

Pemegang taruh sukan perlu lebih berani luah masalah

KUALA LUMPUR, 29 MEI: Setiap pemegang taruh dalam arena sukan tempatan diseru tampil lebih berani berinteraksi berhubung permasalahan dihadapi, kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong.

Beliau berkata, menerusi kaedah itu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dapat mengetahui lebih mendalam berhubung cabaran didepani setiap pemegang taruh sepanjang perjalanan mereka dalam mengharumkan nama negara.

Katanya, sesetengah pihak terutama atlet sebelum ini lebih gemar meluahkan masalah menerusi kiriman teks berbanding meluahkan masalah secara bersemuka, namun trend itu berubah dalam tempoh terdekat.

“Tanggungjawab KBS adalah mewujudkan satu ekosistem di mana atlet, pegawai, jurulatih termasuk persatuan boleh berfungsi dengan optimum. KBS sentiasa sedia mendengar apa sahaja masalah kerana ia mungkin faktor yang mempengaruhi prestasi mereka.

“Tetapi kita orang Timur kadang-kadang segan nak bercakap depan-depan. Kita sedang menggalakkan lebih keterbukaan serta ketelusan dan kita nampak atlet dan pegawai semakin berani menyuarakan isi hati mereka. Itu satu perkembangan yang baik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau latihan atlet dan pertemuan dengan Persatuan Hoki Dalam Air Malaysia di Majlis Sukan Negara (MSN) di sini, semalam.

Sim meluangkan lebih satu jam meninjau latihan skuad akuatik di Jungle Gym, MSN, sebelum pertemuan hampir satu jam bersama atlet hoki dalam air dengan beliau diterangkan berhubung sukan terbabit dan bagaimana ia dimainkan.

Sementara itu, Sim berkata beliau dan KBS komited dalam menyelami masalah dihadapi setiap pemegang taruh.

“Tujuan kita hanya ingin memberi motivasi kepada bukan sahaja atlet tetapi juga jurulatih dan yang lain…kita juga ingin mendengar sama ada wujud apa-apa cabaran dihadapi yang mungkin akan menjejaskan prestasi mereka.

“Adakah ada sesuatu isu yang menghalang untuk mencapai prestasi lebih baik? Dengan itu kita boleh cuba untuk menyelesaikan masalah mereka,” katanya.

Pada masa sama, Sim berkata dirinya sentiasa terbuka menerima kehadiran atlet mahupun individu terbabit dalam menjayakan sukan negara yang ingin meluahkan keluhan.

-BERNAMA


Pengarang :