BERITA UTAMANASIONAL

KRIBA HTAR dijangka beroperasi tahun hadapan

OLEH AFIX REDZUAN

KLANG, 13 MEI: Kompleks Rawatan Ibu dan Bayi (KRIBA) Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang dijangka beroperasi sepenuhnya tahun hadapan susulan kekurangan kakitangan dalam kalangan jururawat.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, setakat ini, KRIBA hanya digunakan sekitar 40 peratus dan ia sedang diselesaikan secara berperingkat dengan pengambilan kakitangan baharu akan berlangsung, pada Julai ini.

“Kita bina kemudahan dan peralatan tetapi kita tidak dapat menjalankan KRIBA secara optimum kerana kekurangan tenaga kerja.

“Perkara ini sangat dikesalkan, sebab itu pembinaan infrastruktur mesti sekali dengan perjawatan, sistem dan perisian. Kita sudah mohon 57 perjawatan baharu untuk jururawat di HTAR sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja rasmi ke HTAR buat pertama kali, hari ini.

Sempena lawatan itu, beliau turut meluluskan peruntukan segera RM200,000 bagi membeli mesin ‘autoclave’ baharu dan tambahan RM200,000 untuk membaik pulih bumbung dapur hospital.

Dr Dzulkefly sebelum itu turut melawat Kompleks Rawatan Harian dan mendengar taklimat disampaikan Pengarah HTAR, Dr Mohamad Sabri Othman di Auditorium Permata.

Aktiviti diteruskan dengan lawatan ke Multidiscipline Short Stay Unit (MSSU), Jabatan Kecemasan, Bed Management Unit (BMU) dan KRIBA.


Pengarang :