BERITA UTAMASELANGOR

LRA Labohan Dagang siap Jun, mampu bekal 200 JLH

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LANGAT, 28 MEI: Sebagai sebuah daerah yang sedang berkembang pesat, Kerajaan Negeri memastikan keperluan asas seperti bekalan air terawat di Kuala Langat sentiasa mencukupi bagi kegunaan penduduk.

Yang Dimuliakan Tengku Penggawa Muda Paduka Maha Bijaya Orang Besar Daerah Kuala Langat, Tengku Mohamed Tengku Harun berkata, bagi tujuan ini Kerajaan Negeri membangunkan Projek Pembangunan Loji Rawatan Air (LRA) Labohan Dagang yang dijangka siap pada akhir Jun 2019.

“Sebanyak 200 juta liter sehari (JLH) air dapat disalurkan dan mampu bertahan selama 75 hari jika berlaku kemarau panjang tanpa pengambilan air dari Sungai Langat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyembah ucapan dihadapan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Majlis Ihya Ramadan DYMM Sultan Selangor Bersama Rakyat 1440H/2019M di Masjid Sultan Abdul Samad, Kampung Seri Jugra, Banting di sini, hari ini.

Tengku Mohamed berkata, lebih-lebih lagi sebanyak lapan pemaju hartanah telah memberikan komitmen memajukan tanah masing-masing dalam tempoh lima tahun terakhir ini.

Antaranya Bandar Rimbayu Sdn Bhd, Gamuda T12 Sdn Bhd, Gamuda Kemuning Sdn Bhd, PNB Development Sdn Bhd, Tropicana Aman Sdn Bhd, Ecoworld Development Sdn Bhd dan Island Circle Development Sdn Bhd.

Katanya, jumlah kawasan pembangunan melibatkan 8,000 ekar tanah itu membabitkan nilai melebihi RM45 billion.

 


Pengarang :