SELANGOR

Masjid dan surau Kuala Selangor terima sumbangan Ramadan

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 7 MEI: Sebanyak 105 buah surau dan 40 masjid di sekitar Kuala Selangor menerima sumbangan RM1,000 serta RM1,250, menerusi Program Menyemarak Ramadan Bersama Masjid dan Surau Negeri Selangor baru-baru ini.

Sumbangan daripada Kerajaan Negeri itu diserahkan Ahli Dewan Negeri Permatang, Rozana Zainal Abidin.

“Adalah menjadi harapan saya supaya dalam kesungguhan kita melaksanakan program Ramadan, perlulah kita mematuhi undang-undang, peraturan dan pekeliling yang dikeluarkan agensi bertanggungjawab.

“Hal ini seiring titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku yang mahukan penceramah dan pentazkirah mempunyai tauliah, tidak menyentuh isu politik sehingga menimbulkan perpecahan, tidak menggunakan khidmat Imam tarawih luar negara dan melaksanakan tazkirah selepas tamat solat tarawih,” kata Rozana menerusi kenyataan di Facebook.

Pada masa sama, beliau meminta umat Islam supaya mengambil peluang memanfaatkan Ramadan, pada tahun ini.

“Semoga Ramadan kali ini kita dapat memanfaatkan sebaiknya, sekali gus menjadi madrasah terbaik untuk membentuk diri yang baharu,” katanya.


Pengarang :