SELANGOR

MB sokong program semarak Ramadan

OLEH NORHAYATI UMOR

BATU CAVES, 5 MEI: Kerajaan Negeri terus komited menyokong pelaksanaan Program Menyemarak Ramadan Negeri Selangor yang bakal diadakan pelbagai agensi.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, ia secara tidak langsung adalah satu perkongsian pintar dalam melaksanakan program dakwah berkenaan.

“Sempena kedatangan Ramadan ini pelbagai program dirangka agensi kerajaan yang berkaitan atau badan bukan kerajaan (NGO) yang bersetuju untuk bernaung bagi menjayakannya.

“Kerajaan Negeri sangat komited dan menyokong usaha berterusan ini sebagai langkah mengimarahkan institusi itu dari masa ke masa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Menyemarak Ramadan bersama masjid dan surau negeri dan pelancaran Selangor Bertadabbur di Masjid Al Amaniah, di sini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Dato’ Haris Kassim.

Pada masa sama, Amirudin berkata, insitusi agama seperti masjid dan surau perlu diaktifkan dengan pelbagai aktiviti tanpa mengira masa supaya dapat menarik minat umat Islam hadir.

“Kita perlu menarik semua golongan supaya hati terpaut dan ternanam di jiwa untuk menjadikan masjid sebagai tumpuan dan pusat komuniti.

“Ini akan membawa perubahan sikap individu biarpun hanya menikmati jamuan berbuka, menerima zakat atau pelbagai jenis sumbangan.

“Ia sebagai permulaan, gunakannya untuk menarik mereka dan tunjukkan keutuhan Islam sebagai agama yang kukuh, masyarakat bersatu padu dan tidak terpisah dengan fahaman yang berbeza,” katanya.


Pengarang :