SELANGOR

Selangor sambut baik dana bina prasarana 10 sekolah

OLEH SHAFIQQUL ALIFF

GOMBAK, 5 MEI: Selangor menyambut baik peruntukan RM3.43 juta diberikan Kerajaan Persekutuan bagi membina prasarana di 10 buah sekolah di negeri itu.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, peruntukan itu bertepatan dengan peranan dan tanggungjawab dimainkan kerajaan untuk membaik pulih prasarana di sekolah yang terbabit.

Katanya, Selangor antara negeri memiliki sekolah paling banyak terjejas akibat serangan serangga anai-anai berikutan struktur tanah dan berdekatan dengan ladang sawit.

“Sekolah yang terjejas ini berpunca daripada kawasan kelapa sawit tidak diselenggara dengan baik dan menjerumus kepada serangan anai-anai.

“Jumlah peruntukan sebenar begitu besar mencecah RM7 juta bagi membaik pulih sekolah yang terjejas daripada serangga perosak ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian Program Menyemarak Ramadhan Bersama Masjid dan Surau Negeri Selangor Peringkat Daerah Gombak, di Masjid Al-Amaniah, di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, dengan peruntukan terbabit sedikit sebanyak dapat membantu membaik pulih sekolah di sekitar Lembah Klang daripada serangan serangga perosak.

Terdahulu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dalam satu kenyataan berkata, sejumlah RM3.43 juta diperuntukkan daripada Kerajaan Persekutuan bagi membaik pulih sekolah yang terjejas daripada serangga perosak di sekitar Lembah Klang melalui Peruntukan Projek Khas.

Antara sekolah terbabit ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pusu, Gombak dan SMK Hulu Kelang di Selangor serta SMK Bukit Indah, Ampang, Kuala Lumpur.

FOTO: FIKRI YUSOF (SELANGORKINI)


Pengarang :